Sultan Nazrin rasmi 100 tahun Madrasah Idrisiah

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sabtu berkenan merasmikan sambutan 100 tahun Madrasah Idrisiah dekat sini yang merupakan antara institusi agama tertua di negeri ini.

Sultan Nazrin bertitah, madrasah yang terletak berhadapan Masjid Ubudiah itu telah berperanan sebagai pelengkap yang merangkaikan peranan masjid dengan program pembangunan insan dan perkembangan ilmu.

Menurut baginda, institusi yang melangkaui usia 100 tahun itu merupakan khazanah ummah berperanan sebagai tapak semaian pembangunan minda yang berjaya melahirkan ribuan ulama dan umara.

"Madrasah Idrisiah dibangunkan berasaskan konsep wakaf, merupakan institusi pendidikan Islam Diraja yang pertama di negeri Perak, telah memberi dimensi baharu kepada sekolah pondok.

"Menunjukkan impian dan wawasan boleh direalisasikan jika ada kesungguhan azam, komitmen, pengorbanan dan semangat dermawan.

"Melambangkan pentingnya rangkaian ilmu dan ibadah, pentingnya rumah ibadah tidak hanya tegak sebagai bangunan ikonik yang sepi dalam isolasi, disebaliknya hendaklah dilengkapi dengan institusi keilmuan membangunkan modal insan, modal intelek dan modal budaya," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, lokasi madrasah yang terletak dalam kawasan istana melambangkan madrasah itu dinaungi secara langsung oleh Paduka Seri Sultan dan didukung bersama pembesar istana dan ulama, mengabsahkan peranan Raja Melayu melindungi, memelihara, membangunkan dan mengembangkan agama Islam.

Jelas baginda, Madrasah Idrisiah juga mengisahkan hasil tuaian daripada rangkaian semangat bekerjasama antara istana, ulama, umara dan rakyat setempat, hingga berjaya membolehkan tanah sekepal dijadikan gunung, air setitik dijadikan laut, idea di minda menjadi realiti.

Artikel Berkaitan:

"Madrasah Idrisiah menjadi dalil akan peranan penting dana wakaf yang sewajibnya dikunjungi dan digerakkan dengan lebih aktif oleh ummah pada hari ini," titah baginda.

Sempena sambutan itu, Sultan Nazrin turut mengumumkan sumbangan RM500,000 kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah kepada Madrasah Idrisiah.

Turut berangkat ke majlis tersebut, adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Eleena Almarhum Sultan Azlan Shah.

Hadir sama, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Pelajar sulung madrasah berkenaan terdiri daripada 23 anak yatim dan telah memulakan pengajian pada bulan Ogos 1922 dengan Tuan Haji Muhammad Haji Salleh diamanahkan tanggungjawab sebagai mudir pertama.

Allahyarham Tuan Guru Syeikh Haji Nawawi Haji Tahir ialah ulama yang berperanan penting berusaha bersama tenaga pendidik merangka kandungan dan pendekatan pendidikan di madrasah tersebut.

Madrasah Idrisiah dibangunkan pada zaman pemerintahan Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah (Marhum Kadasallah) dan mula beroperasi pada tahun 1342 Hijriah bersamaan tahun 1922 Masihi.

Idea untuk menubuhkan sebuah pusat pengajian Islam yang menggabungkan sistem persekolahan moden dengan ciri sekolah pondok tradisional itu dirintis pada tahun 1917 oleh Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah (Marhum Rahmatullah).

Atas hasrat mahu merealisasikan idea tersebut, baginda (Marhum Rahmatullah) telah mewakafkan tiga ekar tanah untuk pembinaan madrasah dan didirikan lima bangunan, mengandungi sebuah pejabat (dikenali sebagai rumah bulat), bangunan induk (asrama dan bilik darjah), dan tiga rumah guru.

Baginda turut mewakafkan 23 kedai di pekan Kuala Kangsar sebagai bantuan dana untuk membiayai perbelanjaan madrasah.