Pengunjung teruja makan kenduri bersama PM

Ismail Sabri (berdiri dua dari kanan) meluangkan masa beramah mesra bersama orang ramai pada Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Melaka di MITC dekat Ayer Keroh pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri (berdiri dua dari kanan) meluangkan masa beramah mesra bersama orang ramai pada Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Melaka di MITC dekat Ayer Keroh pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Pengunjung Kenduri Rakyat sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Melaka pada Jumaat teruja apabila berpeluang makan kenduri bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Lebih istimewa, Ismail Sabri yang meluangkan masa 45 minit menikmati pelbagai juadah seperti sup kambing, capati, mi goreng dan asam pedas, juga sempat beramah mesra dengan orang ramai yang hadir di program yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Jamuan Kenduri Rakyat itu juga diserikan dengan persembahan nyanyian selain beberapa sajian dimasak secara langsung bagi tatapan pengunjung.

Seorang pengunjung, Zaiharani Daud, 35, mengakui bertuah dapat makan bersama-sama Perdana Menteri yang sudah tentu menjadi kenangan berharga buat beliau dan anaknya yang berusia empat tahun.

"Anak saya seronok sangat dapat jumpa Perdana Menteri. Bukan selalu dapat makan kenduri macam ini dan menunya walaupun ringkas tetapi sangat sedap,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Ismail Sabri sebelum itu turut melawat reruai pelbagai agensi dan perkhidmatan yang mengambil bahagian dalam program tersebut antaranya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perbadanan Bioteknologi Melaka.

Pengunjung jelajah AKM juga dilihat cukup ceria dan teruja apabila dapat mendekati pemimpin negara secara lebih santai, malah ada yang tidak melepaskan peluang untuk berswafoto.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, barisan exco kerajaan negeri serta tetamu lain.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu beliau merasmikan jelajah AKM Melaka yang bermula Jumaat hingga Ahad dengan menyediakan 29 kaunter perkhidmatan, 13 kaunter perkhidmatan bergerak serta 118 gerai jualan usahawan industri kecil dan sederhana. -Bernama