Ramli sedia pertahan Cameron Highlands jika dicalonkan

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Ramli Mohd Nor akan terus berusaha mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands sekiranya dicalonkan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata, BN adalah satu-satunya parti yang memberi ruang kepada masyarakat Orang Asli untuk bertanding di peringkat Parlimen sekali gus suara kaum itu dapat didengari di peringkat kebangsaan.

"Saya seorang ahli parti UMNO, saya akur dengan apa-apa keputusan BN dan UMNO. Kalau diberi ruang sebagai calon saya akan usaha buat yang terbaik untuk mempertahankan kerusi BN/UMNO dan berkhidmat sebaiknya untuk masyarakat Cameron Highlands. Insya-Allah,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bersedia mempertahankan kerusi Parlimen itu berikutan ura-ura kerusi berkenaan akan diserahkan kepada UMNO bagi PRU15, manakala sebagai pertukaran MIC akan berpindah ke kerusi Parlimen Teluk Intan.

Ditanya mengenai peratusan pengundi Orang Asli di Cameron Highlands, beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan 45,749 pemilih, 13,165 orang terdiri daripada Orang Asli; 14,687 (Melayu); 12,404 (Cina) dan 5,493 (India).

Sebelum ini, Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov 2018 mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam PRU14 terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Bagaimanapun, BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Ramli daripada suku Orang Asli Semai memenangi PRK itu pada 2019 dengan majoriti 3,238 undi. - Bernama

Artikel Berkaitan: