Speaker sahkan terima watikah pembubaran DUN Pahang

Ishak (dua dari kiri) menyerahkan watikah pembubaran DUN Pahang kepada Zamree di pejabatnya di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
Ishak (dua dari kiri) menyerahkan watikah pembubaran DUN Pahang kepada Zamree di pejabatnya di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad mengesahkan telah menerima watikah pembubaran DUN daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, watikah pengisytiharan pembubaran berkuatkuasa pada Jumaat itu telah ditandatangani Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya sudah terima surat watikah itu. Justeru, urusan selanjutnya akan terletak kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ishak menjelaskan watikah tersebut telah diserahkan kepada Pengarah SPR, Datuk Zamree Hamli.

"Saya telah menyerahkan watikah ini kepada pihak SPR sebentar tadi (Jumaat)," ujar beliau.

Pada Jumaat, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan pembubaran DUN Pahang bagi memberi laluan PRU15.

Pembubaran itu dibuat selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Pilihan raya negeri diadakan secara serentak dengan PRU15 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat perkenan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Pahang ditadbir BN selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 menyaksikan BN menang 25 daripada 42 DUN, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan Pas (lapan).