Jho Low masih miliki kekayaan bernilai RM1.6 bilion

Jho Low - Foto Bernama
Jho Low - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Wartawan Tom Wright mendedahkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mempunyai pegangan terhadap dana bernilai AS$333 juta atau RM1.6 bilion.

Menurut Tom, pemilikan dana tersebut dilakukan melalui syarikat British Virgin Islands (BVI) yang mempunyai pejabat di pusat kewangan global ikonik iaitu Shanghai World Financial Center.

Malah katanya, rekod dokumen menunjukkan Jho Low yang merupakan individu dikehendaki untuk kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikatakan mempunyai pejabat di pusat kewangan tersebut.

“Sukar untuk mengatakan Jho Low bersembunyi! ‘Grace Zenith’, BVI yang dikawal oleh Jho Low dengan modal langganan AS$333 juta, mempunyai pejabat di Bilik 2801-01, Tingkat 28, Shanghai World Financial Center, dokumen menunjukkan,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat.

Dalam rantaian ciapan tersebut, Tom turut berkongsikan dokumen berkaitan pemilikan dana tersebut di samping syarikat dimiliki oleh Jho Low.

Tom berkata, syarikat Jho Low dari China yang dipanggil Guiyue Business Consulting Co. dan 100 peratus dimiliki oleh Grace Zenith.

“Rakyat Malaysia! Semasa Jho Low bekerja di Shanghai World Financial Center, dengan ratusan juta dolar AS wang anda, apakah yang dilakukan oleh pemimpin anda untuk mendapatkannya kembali?

Artikel Berkaitan:

“Menurut sumber kerajaan China, tiada apa-apa (usaha memberkas Jho Low). Terlalu ramai yang terlibat,” ujarnya.

Baru-baru ini, Tom bersama rakan wartawannya yang menyiasat skandal 1MDB mendedahkan bahawa jumlah dana yang diselewengkan daripada dana 1MDB dianggarkan bernilai AS$8.5 bilion atau RM38.8 bilion.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Mac lalu memaklumkan bahawa kerajaan masih perlu menampung kekurangan keperluan dana sebanyak RM17 bilion untuk melunaskan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak RM38.8 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2039.