'Undi BN, Bajet 2023 terlaksana' - Noh

Noh (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua blok sawah padi ketika Majlis Perasmian Hari Ladang di Pusat Belian Padi Sungai Burong pada Khamis.
Noh (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua blok sawah padi ketika Majlis Perasmian Hari Ladang di Pusat Belian Padi Sungai Burong pada Khamis.
A
A
A

TANJONG KARANG - Rakyat diingatkan terus menyokong BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan segala inisiatif dan bantuan dapat disalurkan seperti mana dalam Bajet 2023.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, Bajet 2023 yang terbesar dalam sejarah berjumlah RM372.3 bilion itu memberi tumpuan dan fokus kepada kebajikan rakyat secara keseluruhannya.

"Bajet 2023 banyak memberi bantuan segenap lapisan masyarakat termasuk pesawah padi, nelayan, petani dan semua rakyat mendapat manfaat daripada bajet tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Ladang di Pusat Belian Padi Sungai Burong pada Khamis.

Noh berkata, sekiranya BN menang, sudah tentu bajet itu akan dibentang semula di Dewan Rakyat untuk diluluskan.

"Maka, BN perlu kembali memerintah dan kita bawa semula bajet ini untuk dibahas dan ditambah baik demi kepentingan rakyat," kata beliau.

Jelas Noh, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat prihatin terhadap nasib pesawah dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion.

Katanya, beberapa insentif diperkenalkan semula kerajaan antaranya bantuan RM200 sebulan kepada pesawah untuk tempoh tempoh tiga bulan sementara menunggu musim menuai.

Artikel Berkaitan:

"Skim bantuan RM200 sebelum ini diperkenalkan semasa zaman BN lagi, tetapi semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah selepas PRU14 lalu ia telah dihapuskan, namun semasa pentadbiran Ismail Sabri insentif ini diperkenalkan semula.

"Skim ini secara tidak langsung dapat meringankan beban kehidupan pesawah yang hanya bergantung kepada tanaman padi untuk menyara hidup," ujarnya.