Kilang logam lepaskan pencemaran ditahan operasi

JAS mengenakan POK terhadap sebuah kilang penyaduran logam di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, pada Selasa.
JAS mengenakan POK terhadap sebuah kilang penyaduran logam di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap sebuah kilang penyaduran logam di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, di sini susulan pelepasan pencemaran ketara.

JAS dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi memaklumkan, kilang itu diperiksa seramai 10 anggota penguat kuasa Cawangan Pasir Gudang dan Negeri Johor pada dua hari lepas dari jam 10 pagi hingga 1 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati alat kawalan udara dan efluen di kilang itu tidak berfungsi dan gagal beroperasi dengan baik selain terdapat kawasan proses pengeluaran yang beroperasi tanpa alat kawalan.

"Selain itu juga, buangan terjadual tidak diuruskan dengan betul di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu memberitahu, tindakan POK mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 itu adalah bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku serta arahan bagi tindakan pembaikan.

JAS menjelaskan, persampelan efluen dan bahan buangan terjadual juga telah dijalankan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya.

Pada masa sama, jabatan berkenaan mengingatkan semua premis industri supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturannya serta menjelaskan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan yang mencemarkan alam sekitar. - Bernama

Artikel Berkaitan: