ALLAH permudahkan, My #QuranTime di Masjid Nabawi

Kenangan manis buat Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh yang berpeluang menganjurkan Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Nabawi, Madinah pada 8 Oktober lalu.
Kenangan manis buat Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh yang berpeluang menganjurkan Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Nabawi, Madinah pada 8 Oktober lalu.
A
A
A

IPOH - "Semasa latihan kami dihalau, tetapi apabila program sebenar berlangsung, semuanya dipermudahkan, seolah pengawal tidak nampak kami berkumpul di situ."

Itu antara pengalaman dilalui Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh yang berpeluang menganjurkan Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Nabawi, Madinah pada 8 Oktober lalu.

Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, pada mulanya timbul perasaan bimbang mendapat halangan daripada pengawal di situ kerana peraturan ketat tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpulan.

Apatah lagi katanya, ketika latihan dibuat di dataran masjid, kumpulan mereka telah dihalau kerana berkumpul secara beramai-ramai.

"Tetapi ALLAH penentu segala-galanya, dari awal hingga akhir acara, semuanya dipermudahkan, kami dapat habiskan khatam dan plakad juga berjaya dipamerkan.

"Polis wanita yang bertugas seperti tidak nampak kami berkumpul di situ," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh yang berpeluang menganjurkan Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Nabawi, Madinah pada 8 Oktober lalu.
Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh yang berpeluang menganjurkan Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Nabawi, Madinah pada 8 Oktober lalu.

Beliau berkata, lebih membanggakan, aktiviti itu turut menarik perhatian jemaah wanita negara luar yang turut sama mengikuti bacaan suci ayat al-Quran yang diperdengarkan.

Ujarnya, sebahagian daripada mereka juga meminta izin untuk membawa pulang plakad Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 sebagai kenangan.

"Habis sahaja bacaan, mereka menghampiri kumpulan kami dan membelek plakad yang dibawa, mereka kata nak bawa balik, saya serahkan dan nampak mereka sangat seronok," jelasnya.

Maziah berkata, pengalaman berpeluang Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Nabawi akan menjadi kenangan manis buat 47 ahli komuniti itu.

Menurutnya, perancangan awal, mereka mahu menyertai program berkenaan di Putrajaya, tetapi ALLAH kurniakan rezeki menunaikan umrah, menyebabkan mereka tekad menganjurkan program khatam pada tarikh sama di Madinah.

"Harapan kami program My #QuranTime ini diteruskan, dulu kami hanya mengaji tanpa memahami tapi dengan tadabbur, banyak yang diperjelaskan membuatkan kami lebih faham," ujar beliau.