'Fokus saya masih bersama JDT'

Syafiq (kiri), mahu berikan fokus bersama JDT hingga ke penghujung musim. - Foto FB Johor Southern Tigers
Syafiq (kiri), mahu berikan fokus bersama JDT hingga ke penghujung musim. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad menegaskan, fokusnya kini hanya untuk membantu skuad Harimau Selatan menamatkan baki saingan Liga Super musim ini biarpun khidmatnya ditagih Perak FC, musim depan.

Menurut pemain berusia 27 tahun itu lagi, dia masih belum menerima sebarang tawaran atau dihubungi secara rasmi oleh pihak pengurusan Perak FC berhubung perkara berkenaan dan hanya mengetahui mengenai perkara itu di media sosial baru-baru ini.

Justeru katanya, tidak ada sebarang komen lanjut yang boleh diberikan berhubung perkara berkenaan kerana mahu memberikan sepenuh perhatian bagi membantu JDT menamatkan baki saingan Liga Super musim ini.

“Alhamdulillah, saya masih lagi ramai peminat..apa pun buat masa sekarang mungkin atas media sosial sahajalah dan saya pun tak ada jawapan untuk (perkara) itu.

“Lagi pun sekarang masih dalam liga untuk musim ini dan oleh itu fokus saya adalah untuk pasukan JDT,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi berdepan Kedah Darul Aman (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.

Minggu lalu, pengendali Perak FC, Lim Teong Kim tanpa berselindung mendedahkan dia berminat membawa Syafiq untuk beraksi bersama skuad kendaliannya itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Sementara itu, Syafiq mengakui gembira kerana berjaya menjaringkan dua gol bagi membantu kemenangan 4-1 JDT ke atas KDA FC.

Katanya, kedua-dua gol berkenaan juga diharap dapat membantu meningkatkan lagi keyakinan dirinya untuk terus membantu kejayaan skuad Harimau Selatan itu pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, syukur dapat bantu kemenangan pasukan dengan menjaringkan gol. Sebagai pemain, apabila diberikan peluang bermain, ia macam (dapat) emas, jadi kena buktikan sesuatu dan tunjukkan keputusan 'coach' untuk menurunkan kita adalah tepat.

“Lagi pun, sebagai penyerang, memang menjadi tugas saya untuk menjaringkan gol...sebelum ini Arif Aiman pun pernah jaringkan hatrik dan ini buktikan kita tidak ketandusan penyerang tempatan.

“Secara keseluruhannya, di JDT ni, tak kisahlah sebagai pemain tempatan, pemain naturalisasi, pemain import, semuanya boleh menjaringkan gol,” ujarnya.