Bayi tiga bulan maut dipercayai didera bapa kandung

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai didera bapanya di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang, dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bertindak atas maklumat, bapa kandung mangsa ditahan di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang Teluk Jawa, Mukim Padang Hang, Alor Setar.

Menurutnya, lelaki berusia 28 tahun tersebut adalah suspek utama dan direman selama tujuh hari sehingga 17 Oktober depan untuk membantu siasatan.

"Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Kota Setar menerima panggilan telefon memaklumkan jumpa mayat bayi lelaki berusia tiga bulan dalam sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa pada jam 1.50 tengah hari Isnin.

"Sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kedah bertindak menahan seorang lelaki yang merupakan ayah kepada si mati," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ahmad Shukri berkata, siasatan awal mendapati bayi tersebut mengalami kecederaan pada bahagian kepala dipercayai akibat hentakan benda tumpul yang boleh menyebabkan maut.

Jelasnya, suspek mengaku memukul kepala, menampar muka serta memulas telinga bayinya kerana mendakwa mangsa tidak mahu minum susu selain kerap menangis.

"Ujian air kencing terhadap suspek pula didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Jasad bayi tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat.