Bank Rakyat peruntuk dana RM4 juta bantu usahawan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Rakyat memperuntukkan dana berjumlah RM4 juta menerusi program RAKYATpreneur dan UNIpreneur 2022 yang bakal memberi manfaat kepada 800 usahawan di bawahnya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, menerusi program berkenaan, usahawan yang berpotensi akan dilatih bagi meningkatkan hasil jualan seterusnya menambah jumlah pendapatan sedia ada.

Menurutnya, sebagai mana kejayaan direkodkan menerusi program sama tahun lalu, seramai 106 peserta atau 62.5 peratus daripada 170 peserta RAKYATpreneur secara keseluruhan bagi sesi 2021 berjaya merekodkan peningkatan dalam jualan.

"Manakala 67 peratus usahawan mahasiswa Bank Rakyat UNIpreneur pula mencatatkan peningkatan jualan selepas enam bulan pembabitan dalam program rintis berkenaan.

"Saya amat berbangga dengan komitmen Bank Rakyat dalam memainkan peranan penting sebagai enjin pertumbuhan yang menggerakkan semula sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dapat mentransformasikan dan memperkasakan ekonomi negara dan Keluarga Malaysia.

"Kami juga menjangkakan setiap peserta yang dilatih melalui program ini dapat meningkatkan jumlah pendapatan mereka sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding sedia ada," katanya di majlis pelancaran RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur bagi tahun 2022 di sini pada Selasa.

Usahawan yang berpotensi akan dilatih bagi meningkatkan hasil jualan seterusnya menambah jumlah pendapatan sedia ada.
Usahawan yang berpotensi akan dilatih bagi meningkatkan hasil jualan seterusnya menambah jumlah pendapatan sedia ada.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, pelaksanaan RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur ini seiring dengan aspirasi Rangka Tindakan Kelestarian yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25).

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kedu-dua program bagi tahun ini dirancang dengan lebih komprehensif dan ditambah baik daripada siri sebelum ini bagi memastikan ia terus relevan dan membantu meningkatkan pendapatan peserta sehingga 30 peratus.

"Sejak diperkenalkan, program ini mencatatkan prestasi yang baik serta kejayaan yang membanggakan buat peserta.

"Harapan kami agar usahawan ini bergerak daripada status mikro kepada kecil, kecil ke sederhana dan semoga suatu hari nanti mereka ini mampu menjadi antara Syarikat Tersenarai Awam," katanya.

Untuk rekod, RAKYATpreneur dan UNIpreneur sebelum ini, program itu berjaya membantu ramai usahawan antaranya Latifah Jaafar, 59, dari Selangor yang mesra dikenali sebagai Mak Wan iaitu pengusaha perniagaan pes makanan yang kini berjaya mengeksport produknya dengan menembusi pasaran antarabangsa.

Selain itu, jenama Taco’s yang mengusahakan perniagaan tortilla oleh Mohd Rizuan Abdul Hamid, 34, dari Perak juga hasil bimbingan daripada program RAKYATpreneur 2.0 dan kini perniagaannya semakin berkembang sehingga berjaya membuka sembilan kiosk di Perak dan Selangor.