Eksport ayam hidup pedaging secara berfasa bermula esok

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan membenarkan semula aktiviti mengeksport ayam hidup pedaging secara berfasa mulai esok.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Jemaah Menteri bersetuju supaya sekatan itu dilonggarkan secara berfasa bermula sebanyak 50 peratus atau 1.8 juta ekor ayam sebulan, daripada jumlah keseluruhan sekatan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor ayam sebulan.

Menurutnya, keputusan itu diambil berikutan bekalan ayam di pasaran tempatan yang mulai stabil pada suku tahun ketiga dengan kadar purata lebihan pengeluaran 1.8 juta ekor sebulan.

"Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) akan terus memantau bekalan ayam dalam negara serta pelaksanaan pengeksportan ayam hidup pedaging yang akan melibatkan hampir 100 ladang pengeksport melalui mekanisme pemantauan yang telah dibangunkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.



Dalam pada itu, Ronald berkata, setiap ladang tersebut telah diberikan had kuantiti eksport berdasarkan data perancangan yang dikemukakan serta berlandaskan unjuran pengeluaran ayam bulanan yang perlu dipatuhi.

"Sekiranya didapati berlaku sebarang ketidakpatuhan terhadap arahan yang diberikan, kebenaran eksport ladang terlibat akan digantung.

"Ladang-ladang pengeksport juga tidak dibenarkan menuntut subsidi untuk pengeluaran ayam bagi pasaran eksport kerana pemberian subisidi adalah khusus bagi memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam tempatan pada harga berpatutan untuk rakyat Malaysia," jelas beliau.

Pada masa sama, Ronald berkata, larangan eksport untuk ayam bulat, keratan ayam dan anak ayam Day Old Chick (DOC) umur sehari ayam pedaging masih kekal berkuat kuasa dan kawalan secara fizikal di semua pintu keluar akan terus dilaksanakan Maqis.

"Keputusan bagi membenarkan semula eksport komoditi ayam sepenuhnya akan dibuat tertakluk kepada kedudukan bekalan ayam di pasaran tempatan dan pengeluaran di peringkat ladang.

"Larangan eksport komoditi ayam yang dibuat kerajaan pada 1 Jun lepas adalah bersifat sementara untuk menjamin ketersediaan bekalan ayam dalam pasaran tempatan,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Ronald berkata, kerajaan komited memastikan kelangsungan pengeluaran ayam negara berada pada tahap optimum di samping mengekalkan segmen pasaran antarabangsa.-Bernama