Isu Muslim Uyghur: Kesal Malaysia bersikap berkecuali

Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi
A
A
A

ALOR SETAR - Pendirian Malaysia yang mengambil sikap berkecuali berhubung tindakan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) menolak usul membahaskan dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh China terhadap umat Islam Uyghur di Xinjiang amat mengecewakan.

Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Polisi Pelarian, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, keputusan yang diambil oleh Malaysia itu tidak mencerminkan kesepaduan dalam membanteras kezaliman.

Menurutnya, negara seolah 'menutup sebelah mata' dan tidak mengendahkan kesengsaraan umat Islam Uyghur yang diseksa dan ditindas.

"Ini sangat mendukacitakan, malah bercanggah dengan kenyataan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui ucapannya di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di New York, yang jelas melaungkan seruan memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat yang turut melibatkan konflik antarabangsa," katanya pada Ahad.

Ahli Parlimen Sik itu turut kesal dengan keputusan UNHRC itu kerana sebagai sebuah organisasi yang sentiasa melaungkan isu keamanan dan kemanusiaan, sewajarnya isu umat Islam Uyghur diberikan perhatian.

"Malaysia bersama 11 negara lain mengambil pendirian berkecuali, 19 negara menolak manakala 17 negara menyokong dalam undian melibatkan 47 negara anggota.

"Laporan yang dikeluarkan BBC awal 2021, melaporkan wanita yang ditahan dirogol, tangan mereka digari sebelum ‘diratah’ tentera penguasa yang kejam dan bernafsu binatang, selain menjadikan pusat tahanan sebagai 'rumah haram pelacuran'. Ia jelas menunjukkan berlakunya pencabulan hak asasi ke atas masyarakat Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah tersebut," katanya.

Menurutnya, penindasan terhadap etnik tersebut memberi gambaran seolah maruah seluruh umat Islam dunia hilang tanpa mahu bersuara atas penderitaan saudara Muslim di China.

Artikel Berkaitan:

"Saya kesal dengan pendirian Malaysia yang tidak mengetengahkan keadilan sosial dan prinsip kemanusiaan seperti ditekankan dalam agama Islam.

"Malaysia tidak harus 'membisu' dalam apa-apa isu berkaitan penindasan etnik minoriti tetapi wajar lantang mempertahankan keadilan sejagat," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi menempelak tuduhan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang menyelar Pas berhubung isu berkenaan.

"Penderitaan etnik Uyghur ini pernah ditekankan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ditemubual dalam program Bicara Minda bersama Presiden Pas anjuran Sinar Harian, Disember 2018," ujarnya.

Ahmad Tarmizi memaklumkan, Abdul Hadi menyatakan Malaysia tidak harus 'membisu' dalam apa jua isu berkaitan penindasan etnik minoriti termasuk masyarakat Muslim China Uyghur yang ditindas sejak 1920-an lagi di bawah pemerintahan komunis, sebaliknya harus lantang mempertahankan keamanan dan keadilan dunia.

"Selaku Ahli Jawatankuasa Lujnah Antarabangsa Pas Pusat, saya sendiri pernah menjadi panel dalam Forum Kemanusiaan Peduli Uyghur anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat pada 7 Julai lalu.

"Malah saya bersama Lujnah Antarabangsa Pas Pusat ke Istanbul, Turki secara konsisten untuk membawa mesej memperjuangkan keadilan buat etnik Uyghur secara spesifik di Persidangan Antarabangsa 'The First World Islamic Conference for East Turkistan' pada Julai lalu," katanya lagi.

Menurutnya, mereka sebulat suara menegaskan bahawa penderitaan masyarakat Uyghur perlu dibela daripada terus diseksa.

"Saya anggap Raja Kamarul Bahrin Shah sebagai seorang yang jumud dan terkebelakang kerana tidak mengikuti perkembangan semasa dalam hal kemanusiaan yang diperjuangkan kepimpinan Pas di semua peringkat," ujarnya.