Bajet 2023: 7,615 projek pembangunan dilaksanakan tahun depan

Mustapa (tengah) bertemu peserta BMTKM, Siti Zarina Yaacob (kiri) di Kampung Kubang Golok di Bachok.
Mustapa (tengah) bertemu peserta BMTKM, Siti Zarina Yaacob (kiri) di Kampung Kubang Golok di Bachok.
A
A
A

BACHOK - Sebanyak 7,615 projek pembangunan akan dilaksana tahun depan merangkumi 1,724 projek baharu dan 5,891 projek sambungan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, pelaksanaan projek pembangunan mengikut jadual amat penting bagi memenuhi aspirasi Keluarga Malaysia ke arah menikmati taraf sosioekonomi yang lebih baik.

"Pada Khamis ini, saya dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali akan mempengerusikan mesyuarat Pemudah Cara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara bagi memastikan semua kementerian bersedia dengan pelan pelaksanaan masing-masing dan semua isu dapat diselesaikan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat peserta Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Kampung Kubang Golok di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara contoh projek pembangunan baharu yang diluluskan dalam Bajet 2023 ialah penambahbaikan kemudahan infrastruktur di luar bandar, Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B di Sabah, menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Senai Utara-Pandan (Johor Bahru) kepada enam lorong dan rancangan tebatan banjir di seluruh negara.

Mustapa (tiga dari kiri) duduk bertemu peserta BMTKM di Kampung Kubang Golok, Bachok pada Ahad.
Mustapa (tiga dari kiri) duduk bertemu peserta BMTKM di Kampung Kubang Golok, Bachok pada Ahad.

"Selain itu, Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Kuarters di Kelantan dan Perak; Pembinaan Hospital Maran, Pahang; Pemuliharaan Muara Sungai Merang, Setiu, Terengganu; Program Perumahan Rakyat (PPR) Arau, Perlis; dan Dana Pemacu Pelaburan Langsung Asing,” katanya

Menurut Mustapa, aset kerajaan juga perlu disenggara secara berkala dengan baik bagi memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa dalam keadaan baik untuk meningkatkan kualiti penyampaian.

Artikel Berkaitan:

"Antara peruntukan untuk projek menaik taraf dan penyelenggaraan aset kerajaan termasuklah jalan negeri, jalan persekutuan, sekolah serta institusi pendidikan lain, aset Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia," katanya.

Tambah beliau, peruntukan pembangunan bagi bajet tahun depan adalah yang tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM95 bilion dengan peningkatan RM19.4 bilion atau 25.7 peratus berbanding RM75.6 bilion pada 2022.

Dalam pada itu, beliau berkata, RM1 bilion diperuntukan bagi BMTKM bagi tahun 2023.

“Kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan Keluarga Malaysia pada akhir tahun 2025 seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025.

“Miskin tegar ada di seluruh negara dengan tertinggi di Sarawak diikuti Sabah, Kelantan dan Kedah,” katanya.