Aidil kekal positif nasib Kedah

Aidil Sharin. - Foto Facebook KDA FC
Aidil Sharin. - Foto Facebook KDA FC
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak akur nasib tidak menyebelahi pasukannya untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata apabila tewas 3-4 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super pada Sabtu.

Jurulatih dari Singapura itu kekal positif selepas anak-anak buahnya berjaya mencipta banyak peluang jaringan, namun tidak tepat ke sasaran.

“Biarpun pada sebahagian separuh masa kedua kita ketinggalan 1-4, tapi pemain saya tidak berputus asa dan berjaya merapatkan jurang menerusi dua gol pada penghujung babak.

Kesungguhan mereka wajar dipuji, apapun saya puas hati dengan komitmen diberikan pemain sepanjang tempoh perlawanan apabila pemain dilihat tidak berputus untuk mendapatkan gol.

“Kita hampir mencatatkan keputusan yang positif,” katanya.

Dalam aksi tersebut, kemenangan NSFC diraih menerusi dua gol oleh Gustavo Dos Santos dan masing-masing satu oleh Matheus Alves serta Sean Eugene Selvaraj.

Tiga gol Kedah pula hasil sumbangan Mahmoud Nayef Ahmad, Sanrawat Dechmitr dan Marcos Vales Gonzales.

Aidil Sharin turut mengakui beberapa kesilapan para pemain membolehkan barisan penyerang pasukan tuan rumah mudah mengambil kesempatan menjaringkan gol.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga sedar menentang NS bukan suatu tugas mudah, lebih-lebih lagi dengan keadaan padang yang lembab.

“Kita akan perbaiki apa juga kelemahan dalam pasukan sebagai persiapan menghadapi baki dua perlawanan sebelum mengakhiri tirai saingan musim ini,” katanya.

Pertembungan antara kedua-dua pasukan berkenaan sepatutnya berlangsung pada Jumaat tetapi ditunda susulan keadaan padang ditakungi air selepas hujan sepanjang hari.