Sinar Harian terima Anugerah Pengamal Media Maulidur Rasul

Sinar Harian dipilih menerima Anugerah Pengamal Media sempena sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah Peringkat Negeri Perak

Saifullah menerima Anugerah Pengamal Media yang disampaikan oleh Sultan Nazrin pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Ipoh.
Saifullah menerima Anugerah Pengamal Media yang disampaikan oleh Sultan Nazrin pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Sinar Harian dipilih menerima Anugerah Pengamal Media sempena sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Ahad.

Anugerah disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kepada Ketua Wartawan Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad, 37, yang memulakan kerjaya di agensi berita terbabit sejak 2008.

"Anugerah yang baharu diperkenalkan tahun lalu itu merupakan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan wartawan dalam menyampaikan berita yang telus kepada masyarakat.

"Jiwa wartawan perlu lebih bersih agar berita yang disampaikan adalah sahih dan lebih difahami oleh pembaca bukan sahaja di Perak tetapi di seluruh negara," katanya.

Saifullah menerima wang tunai RM3,000, plak dan sijil.

Sementara itu, Anugerah Keluarga Mithali diberikan kepada bekas guru, Ramli Yusof, 82, berikutan kejayaannya mendidik enam anaknya sehingga menjadi insan yang berjaya.

Ramli menerima Anugerah Keluarga Mithali pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak.
Ramli menerima Anugerah Keluarga Mithali pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak.

"Bersyukur atas kurniaan ini, saya tidak pernah menjangkakan kerana apa yang saya lakukan merupakan tanggungjawab seorang bapa kepada anak-anak mengikut landas Islam.

Artikel Berkaitan:

"Waktu Maghrib dan Subuh merupakan waktu paling saya jaga yang mana mereka perlu ada di rumah atau di masjid. Anak-anak pula perlu patuh dan taat kepada kedua ibu bapa selama mana perintah yang tidak melanggar syarak atau ajaran Islam.

"Selain itu, sumber makanan yang diberi kepada anak-anak perlu dititikberatkan dalam menentukan hala tuju mereka di masa hadapan," katanya.

Datuk kepada 21 cucu itu menerima wang tunai RM5,000, plak dan sijil.

Anugerah Pendakwah pula diberikan kepada bekas guru, Rokiah Man, 61, yang bertungkus-lumus berdakwah dalam kalangan penduduk Orang Asli di daerah Hulu Perak.

Rokiah dipilih menerima Anugerah Pendakwah berikutan usahanya berdakwah dalam kalangan penduduk Orang Asli di Hulu Perak.
Rokiah dipilih menerima Anugerah Pendakwah berikutan usahanya berdakwah dalam kalangan penduduk Orang Asli di Hulu Perak.

"Pelbagai cabaran diharungi termasuk jarak perjalanan, kenderaan serta menguruskan keperluan penduduk namun, ia masih tidak menghalang saya untuk terus berbakti.

"Walaupun kontrak saya sebagai mubaligh tidak disambung sejak tahun lalu, saya terus melawat penduduk Orang Asli di kampung Ulu Gerik dan beberapa kampung lain kerana saya sudah menganggap mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar saya," katanya yang membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil dan plak.

Sambutan bertemakan 'Meremajakan Gerakan Pembangunan Ummah', Sultan Nazrin turut berselawat bersama lebih 2,000 hadirin yang hadir selain diperdengarkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari, Osman Hamzah dan Zubaidi Hamzah dari Kampung Orang Asli Santeh, RPS Legap, Sungai Siput.