Pengiktirafan 40 tahun terlibat usaha dakwah

Zul Ramli bersyukur dan terharu atas anugerah diterima sekali gus membangkitkan semangat untuk meneruskan kerja agama dan dakwah malah meletakkan Pahang sentiasa dekat di hatinya.
Zul Ramli bersyukur dan terharu atas anugerah diterima sekali gus membangkitkan semangat untuk meneruskan kerja agama dan dakwah malah meletakkan Pahang sentiasa dekat di hatinya.
A
A
A

KUANTAN - Anugerah Tokoh Maulidur Rasul yang diterima disifatkan sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha dakwah yang dimulakan sejak berusia 17 tahun.

Bagi pendakwah bebas, Zul Ramli Mohamad Ghazali, 56, anugerah yang diterima dari negeri kelahiran sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang tahun ini cukup bermakna baginya.

Menurut anak kelahiran Kuala Tembeling Jerantut ini, anugerah itu bukan sahaja membangkitkan semangat untuk meneruskan kerja agama dan dakwah malah meletakkan Pahang sentiasa dekat di hatinya.

"Sejujurnya saya bersyukur dan terharu dengan anugerah ini. Bagi saya anugerah ini juga sebagai satu kepercayaan cukup besar yang perlu dipikul dalam menyebarkan syiar dakwah di negeri dan negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Ahad.

Majlis disempurnakan Tengku Panglima Raja,Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mewakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah (tengah) diiringi Wan Rosdy (empat dari kiri) dan Syed Ibrahim (empat dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Ahad.
Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah (tengah) diiringi Wan Rosdy (empat dari kiri) dan Syed Ibrahim (empat dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Ahad.

Zul Ramli yang juga Pengerusi Dewan Dakwah Majlis Dakwah Negara berkata, sebagai pendakwah bebas, beliau sering diundang untuk menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid-masjid di negeri ini.

"Selain itu saya turut diundang untuk mengadakan kursus kepada pegawai jabatan agama di negeri ini terutama dalam bab menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat dengan menjadikan Rasulullah sebagai panduan " jelasnya lagi.

Selain sebagai penceramah bebas, antara tugas dan sumbangan lain Zul Ramli kepada masyarakat dan negara termasuk mengadakan kelas pengajian, tarbiyah dan motivasi, serta program bina insan kepada petugas barisan hadapan ketika pandemik Covid-19.

Beliau yang juga Ketua Felo Akademik Daie Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) turut terlibat dalam penulisan dokumentasi, karya dan kertas kerja.

Atas Anugerah Tokoh Maulidur Rasul itu, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala.

Pada majlis sama, Pengetua Madrasah An Nabawiyyah (Lil Banin) Pulau Tawar, Jerantut, Cik Wan Hilmy Wan Mohamed dipilih sebagai penerima Anugerah Ummah manakala Anugerah Daie diterima Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Roslan Mohd Saludin.

Sementara itu, Anugerah Pendidikan diterima Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, di sini.