43 lelaki ditahan terlibat judi sabung ayam

Anggota dari empat IPD menahan 43 lelaki tempatan dan warga asing kerana terlibat judi sabung ayam dalam serbuan di Kuala Sedili, Kota Tinggi, pada Sabtu. - Foto ihsan IPD Kota Tinggi
Anggota dari empat IPD menahan 43 lelaki tempatan dan warga asing kerana terlibat judi sabung ayam dalam serbuan di Kuala Sedili, Kota Tinggi, pada Sabtu. - Foto ihsan IPD Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - Keghairahan 43 lelaki tempatan dan warga asing menyabung ayam terbantut apabila sepasukan anggota Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bertindak menyerbu sebuah kawasan lapang di Batu 17, Ladang Kumpulan Melayu, Tunjuk Laut, Kuala Sedili di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, serbuan yang turut melibatkan IPD Iskandar Puteri, IPD Johor Bahru Selatan dan IPD Pontian itu dilakukan pada jam 4.15 petang.

"Semua yang ditahan itu terdiri daripada 27 lelaki tempatan dan 16 lelaki warga asing yang berumur dalam lingkungan 22 sehingga 60 tahun.

"Hasil operasi tersebut, pihak polis merampas 13 ekor ayam laga, sangkar ayam dan beberapa peralatan judi sabung ayam serta wang tunai berjumlah RM8,192.

"Semasa serbuan dijalankan, dua lelaki tempatan cuba melarikan diri daripada pihak polis namun berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu ujar beliau, turut disiasat di bawah Seksyen 32(1) (a) & 32 (2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, jika sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

"Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi warga asing pula katanya, akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, permohonan reman di bawah peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas 27 lelaki tempatan dan 16 lelaki warga asing itu akan dilakukan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Ahad untuk membantu siasatan.