Dua rakyat Palestin mati ditembak tentera Israel

Asap menyelubungi kenderaan pasukan keselamatan Israel semasa operasi di bandar Jenin di Tebing Barat pada 8 Oktober 2022. - Foto AFP
Asap menyelubungi kenderaan pasukan keselamatan Israel semasa operasi di bandar Jenin di Tebing Barat pada 8 Oktober 2022. - Foto AFP
A
A
A

RAMALLAH - Dua rakyat Palestin terbunuh manakala 12 lagi cedera pada Sabtu ketika tentera Israel melakukan serbuan ke atas sebuah kem pelarian di bandar Jenin utara Tebing Barat, lapor Xinhua.

Seorang lelaki dikenali sebagai Mahmoud Al-Soous disahkan maut selepas ditembak di bahagian leher, manakala seorang lagi lelaki ditembak di kepala.

Mereka yang cedera termasuk dua lagi dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital, menurut Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan.

Saksi mendakwa tentera Israel bertindak menyerbu kem pelarian dan mengepung sebuah rumah warga Palestin.

Pertempuran sengit tercetus antara askar Israel dan sekumpulan lelaki bersenjata Palestin.

Jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, tentera Israel bertindak menyerbu kem pelarian untuk menjejaki seorang anggota gerakan Jihad Islam Palestin tetapi sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah tentera.

Tentera Israel menyerbu rumah penduduk Palestin setiap hari dengan sengaja, kata Gabenor Jenin Kamal Abu Robb sambil mengutuk serbuan tentera Israel ke atas kem pelarian itu.

"Israel cuba menghapuskan penentangan bersenjata di Jenin tetapi mereka tidak akan berjaya melakukannya,” kata jurucakap Gerakan Penentangan Islam Palestin (Hamas) Hazem Qassem dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Sejak Januari seramai 111 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. - Bernama