PRU15: Kerjasama PBS, Warisan boleh dipertimbangkan

Kerjasama Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan Parti Warisan (Warisan) boleh dipertimbangkan. (Gambar kecil: Shahrun Nidzam)
Kerjasama Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan Parti Warisan (Warisan) boleh dipertimbangkan. (Gambar kecil: Shahrun Nidzam)
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerjasama Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan Parti Warisan (Warisan) boleh dipertimbangkan, kata Naib Ketua Pemuda PBS, Shahrun Nidzam Sharoom.

Beliau berkata, kerjasama itu boleh dipertimbangkan jika ia memberi kelebihan dan impak dalam usaha PBS untuk terus melindungi dan menuntut hak dan kepentingan negeri serta rakyat Sabah.

Katanya, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai retorik bagi meraih sokongan rakyat Sabah kepada BN.

"Kenyataan tersebut jelas menunjukkan ketidaksabaran BN untuk terus kekal berkuasa dan mahu menunjukkan sifat 'abang besar' dalam kesemua gabungan dan kerjasama politik yang mereka sertai.

"Perbincangan berkenaan persefahaman tersebut masih lagi berjalan dan sehingga ke hari ini masih belum ada kata putus yang dicapai secara rasmi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor juga belum membuat pengumuman rasmi berkenaan perkara itu.

"GRS telah menyatakan bahawa kerjasama yang mahu dibentuk bersama BN adalah atas dasar tidak mahu terbabit dengan situasi politik di Semenanjung.

"Namun, kenyataan 'separuh masak' Pengerusi BN itu menimbulkan ketidaksenangan di kalangan penyokong-penyokong GRS dan PBS khususnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, BN dilihat cuba mempengaruhi GRS dalam menentukan calon-calon yang bertanding.

"Perebutan kerusi juga agak hangat pada ketika ini. Adalah sesuatu yang sukar untuk mencapai persetujuan dalam jangka masa yang begitu singkat.

"Bukan mudah untuk membahagikan kerusi yang secara tradisinya ditandingi oleh PBS dan parti-parti lokal lain dalam gabungan GRS terutamanya.

"Dalam masa yang sama, Warisan sering kali menyatakaan kesediaan bekerjasama dengan PBS dan memberi mandat kepada PBS untuk menentukan kerusi-kerusi yang akan ditandingi.

"Pelawaan Warisan dilihat lebih memberi penghormatan kepada PBS sebagai parti lokal yang terbesar dan tertua di Sabah. Ini bukan kali pertama Warisan menawarkan diri untuk bekerjasama dengan PBS malah Presiden Warisan (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) sendiri secara terbuka menyatakan kesediaan mereka dan memberi ruang untuk PBS mempengerusikan kerjasama tersebut," katanya.

Katanya lagi, sehingga kini PBS tidak pernah lari dari perjuangan asal dan sentiasa membuka ruang kerjasama dari mana-mana pihak yang memperjuangkan matlamat yang sama.

"Tidak seperti parti-parti lain yang menggunakan MA63 sebagai retorik apabila di ambang pilihan raya," katanya.