Banyak kes palsukan penyata bank di Sabah: SPRM

Kontraktor mengemukakan dokumen penyata bank palsu bagi mendapatkan tender kontrak antara kes yang terbanyak diterima SPRM Sabah. Gambar kecil: S Karunanithy
Kontraktor mengemukakan dokumen penyata bank palsu bagi mendapatkan tender kontrak antara kes yang terbanyak diterima SPRM Sabah. Gambar kecil: S Karunanithy
A
A
A

KOTA KINABALU - Kontraktor mengemukakan dokumen penyata bank palsu bagi mendapatkan tender kontrak antara kes yang terbanyak diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy mendedahkan kebanyakan kontraktor didapati mengemukakan dokumen palsu dan salah satu daripadanya adalah penyata bank palsu untuk mendapatkan tender kontrak.

"Saya tidak ada statistik sekarang tetapi boleh dilihat ada agak banyak juga kes-kes yang melibatkan penyata bank palsu tetapi kebanyakkannya kes-kes yang lama yang kita siasat dan bawa ke mahkamah.

"Banyak tindakan telah diambil oleh SPRM Sabah dengan menahan serta membawa ke muka pengadilan dan kebanyakkan mereka mengaku salah dan dijatuhkan hukuman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita ketika menghadiri program Networking Bersama Persatuan Wartawan Sabah (SJA) di sini, pada malam Jumaat.

Karunanithy turut berkata, walaupun ramai kontraktor tahu bahawa perbuatan memalsukan dokumen bagi mendapatkan kontrak adalah salah namun masih ada yang melakukannya.

"Memang mereka sedar bahawa perkara itu salah tetapi mereka buat juga namun saya boleh lihat perkembangan yang positif di mana kes-kes ini sudah mulai berkurangan," katanya.

Katanya lagi, terdapat banyak penambahbaikan sejak pihaknya mengadakan program kesedaran melalui kerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen.

Artikel Berkaitan:

"Di SPRM Sabah, kita memang mengadakan forum termasuk di Tawau pada tahun lalu dan kita juga mengadakan kerjasama dengan kementerian kewangan Sabah di Kota Kinabalu.

"Kita sentiasa memberi pendedahan kepada mereka sebab itu ada penambahbaikan," jelasnya.