Bunuh: Empat lelaki warga Bangladesh diberkas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Empat lelaki warga Bangladesh diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan penemuan mayat dalam keadaan tangan dan muka diikat dengan pita pelekat serta kain sarung di Jalan Taming Jaya 10, Kawasan Industrial Park, Seri Kembangan di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan pada jam 8.43 malam 30 September lalu daripada seorang lelaki Bangladesh mendakwa anak saudaranya telah keluar rumah sejak 25 September lalu serta tidak dapat dihubungi.

"Pada 26 September, ibu kepada mangsa yang berada di Bangladesh telah menerima panggilan daripada seorang lelaki disyaki warga Bangladesh menyatakan mangsa ditahan olehnya.

"Ibu mangsa diminta untuk membayar sebanyak 500,000 taka Bangladesh (RM24,000) untuk melepaskannya. Ibu mangsa membayar sejumlah wang kepada suspek melalui akaun bank di Bangladesh pada 27 September dan suspek berjanji akan melepaskan mangsa dalam masa dua hari," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, ibu mangsa tidak menerima sebarang berita selepas itu.

"Pada 30 September lalu, wanita itu mengarahkan anaknya yang merupakan abang kandung mangsa (berada di Malaysia) untuk membuat laporan polis berkenaan kejadian itu.

"Susulan laporan itu, serbuan dijalankan pada kira-kira jam 4 petang 5 Oktober sebelum polis menahan dua lelaki warga Bangladesh di sekitar Beranang," katanya.

Ujar beliau, siasatan yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penangkapan dua lagi individu lelaki warga Bangladesh di sekitar kawasan Semenyih.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek ditahan antara jam 3.30 petang hingga 4.10 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

"Soal siasat dijalankan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penemuan mayat dipercayai mangsa di kawasan semak samun, Jalan Taming Jaya 10, Kawasan Industrial Park, Seri Kembangan pada 6 Oktober kira-kira jam 7 malam," katanya.

Ujar Mohd Zaid, hasil pemeriksaan mendapati mayat tersebut dalam keadaan separuh reput.

"Tangan dan muka mangsa diikat dengan kain sarung dan pita pelekat.

"Mayat tersebut kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.