Pahang pertingkat industri ternakan, pertanian

Wan Rosdy ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2023 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang.
Wan Rosdy ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2023 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Beberapa langkah dan strategi telah disusun kerajaan Pahang terhadap industri penternakan dan pertanian bagi menyuntik rangsangan kepada industri berkaitan kecukupan bekalan dan agromakanan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, suntikan rangsangan itu dibuat bagi memastikan hasil pengeluaran makanan tidak terganggu pada masa akan datang.

Menurutnya, bagi industri penternakan, pemerkasaan sokongan terhadap warga penternak serta industri hiliran adalah prasyarat yang mesti dikukuhkan.

"Pahang merupakan negeri pengeluar utama daging lembu di Semenanjung Malaysia. Justeru, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM2.97 juta kepada industri ini.

"Peruntukan sebanyak itu disalurkan bagi memastikan industri penternakan Pahang terus berkembang dan kekal mampan. Kita juga akan merancakkan penghasilan baka ternakan premium seperti lembu wagyu dengan peruntukan sebanyak RM3.4 juta.

"Pada masa sama, sebanyak RM3 juta lagi akan diperuntukkan kepada 300 induk baka bagi menjayakan inisiatif ini," katanya ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2023 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Menyentuh mengenai industri pertanian, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan membelanjakan RM3.35 juta bagi membantu para petani di seluruh Pahang.

Jelasnya, ia termasuk memastikan para petani yang terlibat dalam pembangunan projek pertanian terancang, didedahkan dengan pelbagai teknologi pertanian terkini.

Katanya, pendekatan pertanian ketepatan iaitu konsep pertanian pintar dan internet perkara (loT) seperti penggunaan dron bukan sahaja mampu menjimatkan kos, malah berupaya meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan meningkatkan pengeluaran hasil.

Artikel Berkaitan:

"Kita galakan juga akan diberikan kepada orang ramai untuk bercucuk tanam secara individu atau berkumpulan.

"Selain itu, penanaman baharu dan pemulihan projek bagi tanaman buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman kontan, tanaman kelapa dan komoditi berpotensi akan diberi tumpuan," ujar beliau.

Wan Rosdy berkata, bagi memastikan pengeluaran makanan seperti buah, sayur, dan tanaman kontan menepati piawaian serta selamat dimakan, bilangan Ladang Berstatus Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dengan amalan pertanian yang baik akan ditingkatkan.

Menurutnya, beberapa inisiatif lain akan turut dilaksanakan antaranya pengeluaran tanaman baharu yang berpotensi seperti sacha inchi, vanila dan buah tin dengan mengaplikasikan teknologi rumah hijau melalui peruntukan RM1 juta.

Selain itu, Wan Rosdy yakin kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang akan memperhebatkan Projek Bumi Hijau Tanaman Fertigasi bagi membantu golongan rentan menambah pendapatan.

Tambah beliau, usaha ini telah dimulakan dengan projek rintis tanaman fertigasi cili bara oleh penghuni di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan.

Katanya, program Usahawan Tani Fertigasi akan diwujudkan dengan melibatkan 40 kampung di seluruh Pahang.

"Setiap 10 individu yang layak daripada setiap kampung tersebut akan menerima RM10 ribu dan keseluruhan projek ini akan menelan belanja sebanyak RM400 ribu," jelas beliau lagi.

Kerajaan negeri akan membangunkan satu pusat Kajian dan Penyelidikan (R&D) serta kilang bagi menghasilkan dedak ternakan.

Wan Rosdy memaklumkan, sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini.

"Melalui segala inisiatif dan usaha yang telah disusun, kita berharap Pahang akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan sambil memastikan kita mempunyai bekalan makanan yang mencukupi," kata beliau.