Penjawat awam rugi RM468,000 diperdaya 'pegawai polis'

Ismail Dollah
Ismail Dollah
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang penjawat awam kerugian RM468,000 selepas diperdaya Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis pada Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 38 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Mangsa menerima panggilan tersebut pada 4 Ogos lalu yang mengatakan maklumat peribadi mangsa telah terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram. Suspek menawarkan bantuan kepada mangsa untuk menyelesaikan kes tersebut.

"Caranya suspek perlu membuat bayaran ke akaun Mule yang diberikan suspek. Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek telah membuat bayaran RM70,000," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek kemudian meminta maklumat perbankan dalam talian mangsa kononnya untuk tujuan siasatan.

Katanya, mangsa kemudian menyedari RM398,000 hilang daripada akaunnya dan secara keseluruhan mengalami kerugian RM468,000.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat selepas menyedari ditipu suspek.

Ismail berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis ingin menasihati apabila menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali dan membuat semakan dengan pihak berkuasa sekiranya nombor itu mempunyai keraguan," ujar beliau.