NFCORP dibenar penangguhan terakhir bagi rayuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan akhir prosiding rayuan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan empat yang lain berhubung saman pelanggaran kontrak mereka terhadap sebuah bank.

Hakim Datuk Azizah Nawawi, yang mengetuai panel tiga hakim, bagaimanapun mengarahkan NFCorp, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak syarikat iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd dan Agroscience Industries Sdn Bhd and Real Food Company Sdn Bhd supaya membayar kos RM5,000 kepada Public Bank Berhad.

Mahkamah membenarkan penangguhan prosiding rayuan itu selepas dimaklumkan bahawa peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili NFCorp dan empat yang lain, tidak sihat.

"Memandangkan sijil sakit dikemukakan oleh Muhammad Shafee, kes ditangguhkan ke tarikh lain. Pihak-pihak perlu mengadakan pengurusan kes untuk menetapkan tarikh baharu.

"Ini akan menjadi penangguhan terakhir untuk rayuan ini," kata Azizah yang bersidang bersama hakim Lee Heng Cheong dan Datuk Hashim Hamzah.

Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan yang dikemukakan NFCorp dan empat yang lain terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Julai 2019 yang menolak saman mereka terhadap Public Bank atas dakwaan pelanggaran kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

Semasa prosiding secara dalam talian hari ini, peguam Sarah Malini Abishegam yang mewakili NFCorp dan empat yang lain memohon mahkamah memberikan penangguhan singkat kerana Muhammad Shafee demam, batuk dan sakit tekak serta hilang suara.

"Kami mohon maaf. Kami tiada pilihan lain kerana hanya beliau (Muhammad Shafee) yang diberi kuasa mengendalikan kes ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata penangguhan kali ini adalah yang ketujuh, namun kebanyakan penangguhan pendengaran rayuan adalah atas sebab COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Peguam bank itu, Yoong Sin Min berkata rayuan difailkan pada Ogos 2019 dan sejak itu hingga kini, pihak dalam rayuan telah melalui enam pengurusan kes kerana enam tarikh perbicaraan telah ditangguhkan.

"Saya tidak akan membantah (penangguhan) tetapi memandangkan ia adalah tarikh perbicaraan ketujuh dan sukar bagi saya untuk memberitahu anak guam saya mengapa kes itu asyik ditangguhkan,” katanya dan menuntut kos RM10,000.

Yoong berkata, permohonan penangguhan sebelum ini adalah kerana Muhammad Shafee terlibat dalam dua lagi kes mahkamah serta mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan yang sedang berlangsung.

Penangguhan lain kerana Muhammad Shafee terpaksa ke Amerika Syarikat, sebab Covid-19 dan juga isu rekod rayuan.

Peguam itu berkata, beliau hanya dimaklumkan pagi ini tentang keadaan Muhammad Shafee yang tidak boleh menghadiri prosiding mahkamah hari ini. Beliau memohon agar penangguhan kali ini adalah yang terakhir bagi pendengaran rayuan itu.

NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga anak syarikat menyaman Public Bank pada 22 Mei 2012, memfailkan saman terhadap Public Bank kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank tersebut.

Dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu.

Mereka mendakwa maklumat akaun bank mereka yang dibocorkan itu digunakan oleh Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli untuk menyokong dakwaan bahawa plaintif telah mempengaruhi pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City. - Bernama