Xavi tuding jari salahkan pengadil

Xavi. - Foto Agensi
Xavi. - Foto Agensi
A
A
A

JURULATIH Barcelona, Xavi Hernandez menuding jari kepada pengadil yang menyebabkan The Catalan tewas 0-1 kepada Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu.

Beliau meluahkan amarah selepas mengalami kekalahan kedua dalam kejohanan itu apabila dua kali bola terkena tangan tidak memberi kelebihan buat mereka.

Kekalahan tersebut meletakkan Barca di kedudukan ketiga Kumpulan C, enam mata di belakang pendahulu Bayern Munich.

Dalam aksi itu, gol penyamaan babak kedua Barca dibatalkan selepas pengadil Slavko Vincic melihat rakaman bola terkena tangan Ansu Fati sebelum ia menemui Pedri yang terus merembat ke gawang.

The Catalan turut dinafikan penalti pada penamat aksi selepas pegawai VAR membuat keputusan bahawa Denzel Dumfries tidak memegang bola walaupun dilihat melakukan perkara sama seperti terjadi kepada Fati.

“Jika anda tanya, saya memang marah. Dunia memang marah kerana ia tidak masuk akal, ia tidak adil.

“Saya rasa ia tidak adil, saya tidak boleh sembunyikannya,” kata Xavi kepada wartawan.

Xavi menegaskan bahawa pengadil sepatutnya menerangkan keputusan dibuat mereka kepada wartawan selepas perlawanan sama seperti dilakukan pengurus selepas pasukan mengalami kekalahan.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa pengadil sendiri sepatutnya memberi penjelasan. Dia perlu ke sini dan menerangkannya, tapi dia sudah pulang.

“Saya rasa mereka patut bercakap. Ia penting untuk mereka menerangkan keputusan yang dibuat, sama seperti kami. Saya rasa ia amat penting,” ujar Xavi.

Dalam pada itu, pengendali Inter, Simone Inzaghi tidak berminat dengan insiden tersebut yang menyebabkan Xavi sangat marah.

“Saya fokus kepada mencari kemenangan dan membawa Inter ke landasan sebenar selepas keputusan yang buruk,” katanya.

Gol kemenangan Inter dijaringkan Hakan Calhanoglu sebelum tamat babak pertama.