MCC Malaysia catat skor Qlassic tertinggi dalam sejarah

Ahmad Asri (dua dari kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan Qlassic kepada An Wei (kiri) semasa Majlis Penyempurnaan dan Penyerahan Anugerah Qlassic bagi projek The Face 2 Platinum Victory Suites, di sini pada Rabu.
Ahmad Asri (dua dari kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan Qlassic kepada An Wei (kiri) semasa Majlis Penyempurnaan dan Penyerahan Anugerah Qlassic bagi projek The Face 2 Platinum Victory Suites, di sini pada Rabu.
A
A
A

MCC Overseas (M) Sdn Bhd (MCC Malaysia) merekodkan skor sebanyak 89 peratus untuk Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (Qlassic) bagi pembinaan The Face 2 Platinum Victory Suites, di sini.

Bacaan tersebut merupakan rekod tertinggi di dalam sejarah untuk kategori bangunan kediaman bertingkat tinggi sejak ia diperkenalkan pada 2007.

Qlassic merupakan piawaian industri pembinaan yang diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk mengukur, menilai dan meneliti kualiti kerja pembinaan bangunan mengikut keperluan Standard Industri Pembinaan (CIS 7:2014).

Ia merupakan penanda aras bagi projek pembinaan untuk memastikan pembangunan mematuhi semua piawaian kualiti kerja dan jaminan melalui proses penilaian yang ketat.

Pengarah Urusan MCC Malaysia, Li An Wei, berkata, pihaknya selaku kontraktor utama projek tersebut sentiasa menjaga kualiti kerja dengan menitikberatkan hasil kerja setiap projek.

Menurutnya, perjalanan untuk mendapatkan skor tersebut bukan satu usaha yang mudah kerana ia melibatkan proses penilaian yang ketat dan teliti melibatkan lebih 600 bahan dan 300 unit.

"Kami berterima kasih kepada semua yang terlibat di atas semangat dan profesionalisme yang ditunjukkan bagi mencapai kejayaan bersejarah untuk projek The Face 2 Platinum Victory Suites dengan skor Qlassic tertinggi dalam sejarah.

"Pencapaian ini memberikan motivasi kepada setiap pekerja untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dan menjadi kontraktor pilihan bagi semua kerja-kerja pembinaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyempurnaan dan Penyerahan Anugerah Qlassic bagi projek The Face 2 Platinum Victory Suites, di sini pada Rabu.

The Face 2 Platinum Victory Suites merupakan sebuah kondominium mewah 51 tingkat dibangunkan oleh Platinum Victory Property yang siap dibina pada Julai tahun ini

Sebanyak 1,025 unit rumah di sini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam infiniti dengan pemandangan 180 darjah bandar Kuala Lumpur.

Turut hadir ketika majlis tersebut ialah Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid dan Pengasas Bersama Platinum Victory Property, Datuk Alex Tan Ai Chong.