KPWKM sasar satu kaunselor bagi 500 penduduk

Rina - Foto Bernama
Rina - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meletakkan sasaran untuk mencapai nisbah seorang kaunselor berdaftar bagi 500 penduduk, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Harun.

Menurut beliau, dalam beberapa tahun ini keperluan kepada perkhidmatan kaunseling begitu mendesak.

"Dalam tempoh dua tahun negara menghadapi pandemik Covid-19 ini dan kemudiannya pasca Covid-19, kita lihat banyak isu dan kes yang melalui perkhidmatan kaunseling dapat menyelamatkan nyawa seseorang," katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, setakat 31 Ogos lepas, jumlah kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor ialah seramai 10,136 orang atau seorang kaunselor berdaftar bagi 3,327 penduduk.

"Kita tidak meletakkan sasaran berapa tempoh atau tahun untuk kita mencapai nisbah satu kaunselor bagi 500 penduduk, kerana kita sedar setiap tahun jumlah penduduk bertambah, namun kita percaya ia boleh dicapai," katanya.

Rina berkata, antara inisiatif yang akan dilaksanakan KPWKM ialah menambah baik proses pendaftaran kaunselor melalui penerimaan permohonan dan melaksanakan sesi pengesahan kelayakan kaunselor secara dalam talian.

"Selain daftar melalui dalam talian, kita juga akan turun padang untuk mudahkan kaunselor ini buat pendaftaran menerusi program yang kita anjurkan.

"Kita dapati ada antara mereka ini yang bila dah habis belajar, tak semuanya jadi kaunselor berdaftar kerana mungkin mereka kerja di bahagian yang tak melibatkan kaunseling jadi sebab itu dia tak daftar sebagai kaunselor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Rina, kira-kira 60 peratus daripada jumlah kaunselor yang berdaftar berada dalam perkhidmatan awam, perguruan dan akademik seperti di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. - Bernama