HUSM latih Orang Asli dalam bantuan kecemasan

Dr Nik Hisamuddin (kiri), Dr Shaik Farid (berdiri, kiri) dan Roslina (berdiri, dua dari kiri) melihat sukarelawan Orang Asli, Arizan Long, 39, menunjukkan cara memberi pertolongan cemas kepada mangsa lemas.
Dr Nik Hisamuddin (kiri), Dr Shaik Farid (berdiri, kiri) dan Roslina (berdiri, dua dari kiri) melihat sukarelawan Orang Asli, Arizan Long, 39, menunjukkan cara memberi pertolongan cemas kepada mangsa lemas.
A
A
A

KOTA BHARU - Hospital Universiti Sains Malaysia melatih seramai 10 Orang Asli Pos Balar Gua Musang melibatkan bantuan kecemasan bagi membantu meningkatkan taraf kesihatan dalam komuniti mereka.

Kesemua mereka dilatih dengan tiga perkara utama iaitu perawatan asas perubatan kecemasan, penjagaan asas kesihatan dan pergigian.

Pengarah, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Profesor Datuk Dr Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman berkata, program berkenaan mendapat tajaan sebanyak RM109,300 dari Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (Kris).

Menurut beliau, projek mega yang mengambil masa 12 bulan itu bertujuan melatih sekumpulan Orang Asli melibatkan empat fasa iaitu kesedaran kesihatan, lawatan susulan, latihan kepada pelatih dan penilaian.

"Kesemua mereka merupakan peserta pertama bagi program ini yang menjadi satu kaedah pertukaran ilmu sekali gus dapat meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan dalam komuniti Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat Bersama Orang Asli Pos Balar di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Madya Dr Shaik Farid Abdull Wahab dan Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), negeri Kelantan, Roslina Bun.

Dr Nik Hisamuddin juga mahu program itu berpanjangan kerana memberi impak yang tinggi kepada masyarakat pedalaman dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh Jakoa, komuniti Orang Asli Pos Balar dilihat masih jauh ketinggalan dalam aspek penjagaan kesihatan," katanya.

Sementara itu, Roslina berkata, usaha HUSM dapat mengurangkan beban masyarakat Jakoa bagi membantu meningkatkan kesihatan dan kebajikan komuniti itu.

Katanya, sukarelawan yang dilantik secara tidak langsung dapat meningkatkan pengetahuan dalam bidang perubatan termasuk rawatan asas, pergigian dan kesihatan wanita.

"Program ini memberi peluang kepada penduduk di pedalaman kerana mereka sukar mendapat akses kepada kesihatan," katanya.