90 mangsa sindiket penipuan kerja dalam proses dibawa pulang

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan masih terdapat 90 lagi rakyat Malaysia yang diculik dan ditipu oleh sindiket penipuan pekerjaan di rantau Asia Tenggara sedang menunggu proses penghantaran pulang ke tanah air.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, secara keseluruhan sejumlah 261 rakyat Malaysia telah diculik dan ditipu membabitkan empat negara iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand antara April hingga akhir September tahun ini.

“Dalam empat negara ini, yang terbanyak ialah di kemboja iaitu 139 telah dibawa pulang dan 56 masih dalam tahanan dalam proses.

"Kita memang berusaha sedaya upaya. KLN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan sebagainya sentiasa berusaha untuk kesan mereka dengan kerjasama pihak berkuasa empat negara tersebut dan setelah dikesan, mereka ditahan sementara untuk disiasat dan setelah selesai barulah akan dibawa balik.

"Pada 8 September lalu, saya telah ke Phnom Penh dan esoknya saya pulang dengan 24 orang yang telah kita selamatkan," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam- Bersatu) yang ingin tahu tindakan diambil oleh pihak kementerian bagi membantu warga Malaysia yang ditipu dan diculik oleh sindiket penipuan pekerjaan terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin turut memaklumkan, mesyuarat jemaah menteri pada 21 September lalu telah mengarahkan supaya satu Jawatankuasa Khas melibatkan agensi-agensi berkaitan ditubuhkan.

Tambahnya, jawatankuasa khas yang diketuai beliau itu ditubuhkan bagi menangani isu secara bersepadu dan menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Kementerian Luar telah mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua Perwakilan Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand pada 30 September lalu dan menyatakan pendirian Putrajaya yang prihatin dan memandang serius perkara ini.

"Malaysia ingin mendapatkan kerjasama negara-negara yang terlibat dalam menggiatkan usaha mengesan serta menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa,” katanya.