Padah ubah suai tangki minyak bot

Tiga lelaki tempatan ditahan untuk siasatan lanjut. - Foto Maritim Malaysia
Tiga lelaki tempatan ditahan untuk siasatan lanjut. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA KEDAH - Tiga lelaki tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) kerana mengubah suai tangki minyak ketika pemeriksaan ke atas sebuah bot pukat tunda kelas C pada kedudukan empat batu nautika barat Kuala Kuar pada 2.30 pagi Isnin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan terbabit bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika dihampiri bot ronda Maritim yang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Kedah.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot, anggota penguat kuasa mengesan ruang asing di bawah rumah bot yang ditutupi dengan kayu papan lapis.

"Anggota penguat kuasa bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua tangki minyak yang diubah suai dan mengesyaki bot berkenaan terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak," katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.

Noor Azreyanti berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 22 hingga 58 tahun itu ditahan bersama bot berkenaan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

"Kesemua yang ditahan adalah warga tempatan," katanya.

Tangki minyak yang diubah suai di bawah rumah bot berkenaan. - Foto Maritim Malaysia
Tangki minyak yang diubah suai di bawah rumah bot berkenaan. - Foto Maritim Malaysia

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti ditetapkan dalam buku lesen.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Saya ingin mengingatkan pengusaha bot nelayan tempatan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukan.

"Maritim Malaysia tidak akan kompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Noor Azreyanti memaklumkan, pihaknya sentiasa mengalu-alukan aduan berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.