Kuwait Airways kembali ke KLIA selepas 7 tahun

Kuwait Airways
Kuwait Airways
A
A
A

SEPANG - Penerbangan sulung Kuwait Airways ke Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.40 pagi hari ini selepas menghentikan operasi selama tujuh tahun.

Pengerusi ATS Global Travel and Charter Sdn Bhd Datuk A. Aziz Ahmad berkata, buat permulaannya syarikat penerbangan itu akan menawarkan perkhidmatan penerbangan dua kali seminggu ke KLIA dan akan meningkatkan kekerapannya kepada tiga kali seminggu bermula bulan depan.

"Kita sekarang berada dalam proses pemulihan Covid-19. Kita menjangka kekerapan itu akan meningkat pada masa depan.

"Ini suatu yang baik bagi Malaysia kerana lebih ramai pelancong akan melawat bukan sahaja dari negara-negara Timur Tengah tetapi juga pengembara dari negara lain yang Kuwait Airways ada menjalin perkongsian kod dengan syarikat penerbangan tertentu,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan ketibaan penumpang di KLIA menerusi penerbangan KU409 syarikat penerbangan itu pada Isnin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengurus negara kanan Kuwait Airways bagi Thailand dan Malaysia Ali Alkhuzaiem.

ATS adalah ejen perkhidmatan am Kuwait Airways di Malaysia.

Penerbangan hari ini (Isnin) dengan 208 penumpang termasuk kelas pertama dan kelas perniagaan itu menggunakan pesawat Boeing 777-300ER.

Aziz berkata, bergantung kepada perkongsian kod syarikat penerbangan itu dengan syarikat penerbangan lain, pengembara Malaysia juga boleh mengambil penerbangan alternatif menerusi Kuwait Airways secara terus ke destinasi mereka di seluruh dunia tanpa perlu transit di mana-mana.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, ATS juga menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebagai hab umrah khusus bagi wilayah Borneo termasuk jemaah umrah dari selatan Filipina.

"Dengan kontrak yang diberikan kepada kami (oleh kerajaan negeri Sarawak) kami juga merancang untuk membawa Kuwait Airways beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,” katanya. - Bernama.