Pengasuh ditahan bayi dalam jagaan cedera

Mangsa mengalami kecederaan dengan kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinganya.
Mangsa mengalami kecederaan dengan kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinganya.
A
A
A

AMPANG - Seorang pengasuh ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes kecederaan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan di Taman Putra di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 43 tahun itu ditahan pada Sabtu selepas polis menerima laporan yang dibuat ibu bayi tersebut pada Jumaat lalu.

"Berdasarkan laporan yang dibuat ibu mangsa, dia menyedari anaknya mengalami kecederaan dengan kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinganya.

"Mangsa telah dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam orang anak asuhan berusia tiga bulan hingga dua tahun.

Suspek juga mempunyai dua anak kandung yang tinggal bersama iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berusia lapan dan 16 tahun.

"Suspek telah meninggalkan mangsa lalu keluar dari rumah selama dua jam. Kejadian kecederaan dipercayai berpunca dari anak asuhan yang lain menggigit muka mangsa," katanya.

Menurut beliau, suspek telah direman selama empat hari bermula Ahad hingga Rabu bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal," katanya.