MPN perkukuh inisiatif keselamatan sosial

A
A
A

Hartini ketika ditemu bual di MIDA Sentral, pada Sabtu.
Hartini ketika ditemu bual di MIDA Sentral, pada Sabtu.



Peningkatan kos sara hidup dan tekanan inflasi banyak mengubah corak hidup rakyat



KUALA LUMPUR - Majlis Pemulihan Negara (MPN) memandang serius situasi kebajikan dan keselamatan sosial golongan rentan, iaitu kumpulan paling terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

Ahli MPN, Datuk Dr Hartini Zainuddin berkata, peningkatan kos sara hidup yang tinggi, ditambah dengan tekanan inflasi ketika ini banyak mengubah corak hidup masyarakat Malaysia.

Menurut beliau, keadaan tersebut memaksa lebih ramai golongan berpendapatan sederhana (M40) turun ke dalam kategori isi rumah B60 (kategori golongan berpendapatan rendah (B40) dan kumpulan terendah dalam M40).

“Sebagai ahli MPN dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ini adalah peluang bagi saya mewakili masyarakat sivil untuk buat yang terbaik kepada negara sewaktu kecemasan.

“M40 sudah jatuh, kalau kita lihat yang pergi mencari makanan di rumah untuk gelandangan bukan asnaf sahaja, tetapi juga kumpulan M40 yang kebanyakannya perlu menyimpan duit supaya mereka boleh membayar komitmen lain.

Akibat penularan Covid-19, peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi dan tekanan inflasi ketika ini telah banyak mengubah corak hidup masyarakat Malaysia.
Akibat penularan Covid-19, peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi dan tekanan inflasi ketika ini telah banyak mengubah corak hidup masyarakat Malaysia.



“Paling kasihan pastinya kanak-kanak yang susah untuk mendapatkan makanan sihat hingga akhirnya menyebabkan mereka jatuh sakit. Nak makan pun susah, macam mana nak pergi ke sekolah?” katanya ketika ditemui di MIDA Sentral, di sini, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:


Bentang cadangan

Justeru Hartini memaklumkan, beliau akan membentangkan cadangan lanjutan bagi mengukuhkan inisiatif-inisiatif keselamatan sosial dan kebajikan golongan rentan pada mesyuarat MPN yang akan datang.

Jelas aktivis hak asasi kanak-kanak itu, pembentangan akan dijalankan menggunakan data daripada program perintis, dengan sejumlah 15,000 hingga 17,000 isi rumah sebagai garis dasar untuk menjalankan intervensi terhadap aspek perlindungan sosial yang lain.

Berdasarkan program tersebut, beliau mendapati kebanyakan isi rumah golongan rentan adalah daripada penduduk yang berada di Sabah, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor, Kedah dan Johor.

Hartini (kiri) bermesyuarat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hartini (kiri) bermesyuarat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.



“Oleh itu, kerjasama dengan kerajaan dan NGO bakal dilaksanakan untuk memastikan setiap isi rumah dibekalkan dengan makanan yang sihat.

“Kita juga akan melihat infrastruktur dan ekosistem berkaitan makanan secara menyeluruh. Kita beri makan, tengok apa yang (mereka) perlukan, siapa yang sakit, warga emas, ibu tunggal, yang perlukan nutrisi dan sebagainya.

“Ia bukan hanya soal ekonomi semata-mata, pemulihan ekonomi sahaja tidak cukup. Situasi ini memerlukan kita (rakyat Malaysia) untuk meluangkan masa, fikiran dan semangat untuk membantu kebajikan golongan terjejas,” jelasnya.

Sementara itu, ujar beliau, susulan syor mesyuarat MPN pada 2021, Yayasan Hasanah telah menjalankan satu usaha sama bersama Yayasan Chow Kit bagi memberi bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan.

“Usaha sama yang dilaksanakan dengan bantuan NGO seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Yayasan Sejahtera, Projek Zero Hunger dan Bantu (satu gabungan 17 NGO Sabah) telah berjaya membantu 7,737 isi rumah dalam fasa 1 dan dijangka membantu lebih 8,000 isi rumah di fasa 2 pada penghujung Oktober ini,” katanya.

Tambah beliau, pembentangan kedua pula adalah berkenaan perlindungan kanak-kanak yang mana kadar bunuh diri dalam kalangan mereka yang berumur antara 15 hingga 18 tahun bagi tempoh 2019 hingga 2020 adalah seramai 872 orang.

Program Bakul Makanan merupakan antara inisiatif baik dalam usaha membantu meringankan beban rakyat terutamanya golongan rentan.
Program Bakul Makanan merupakan antara inisiatif baik dalam usaha membantu meringankan beban rakyat terutamanya golongan rentan.



“Kita juga ada rancangan untuk menggunakan platform digital bagi mengenal pasti dan mengumpul data mengenai kanak-kanak yang kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali sewaktu pandemik Covid-19,” jelas Hartini.

Inisiatif baik

Mengulas mengenai Program Bakul Makanan, Naib Presiden Voice of the Children itu mengakui ia merupakan antara inisiatif baik dalam usaha membantu meringankan beban rakyat terutamanya golongan rentan.

Bagaimanapun ujarnya, pemberian makanan tersebut dikhuatiri hanya mampu bertahan dalam satu atau dua minggu sahaja.

“Tujuan kita beri bakul makanan adalah untuk berjumpa dan mengenal pasti keberadaan mereka dan sekarang kami sudah kenal pasti sekitar 15,000 hingga 17,000 isi rumah golongan rentan.

“Jadi ini yang saya akan bentangkan kepada MPN. Selain diberi bakul makanan, kita perlu pastikan mereka mempunyai makanan yang cukup untuk lima hari seminggu. Kita tidak boleh hanya beri satu bakul makanan, ia tidak cukup,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hartini turut menceritakan bahawa setiap hari beliau akan menerima 200 hingga 300 mesej daripada orang ramai seluruh negara yang ingin memohon bantuan makanan, kebajikan dan sebagainya.

Hartini ketika ditemu bual di MIDA Sentral, pada Sabtu.
Hartini ketika ditemu bual di MIDA Sentral, pada Sabtu.



“Bayangkan setiap hari saya mendapat mesej meminta pertolongan sama ada melalui aplikasi WhatsApp, Instagram, Twitter dan Facebook.

“Ketika itu saya sedar masalah ini sudah semakin teruk. Melihat kanak-kanak meninggal disebabkan kurang makan, tidak mendapat nutrisi, saya tahu kita dalam masalah besar.

“Ini bukan Malaysia. Kanak-kanak Malaysia tidak boleh mati disebabkan kelaparan,” luahnya.

Menurut Hartini, MPN ketika ini dalam usaha untuk melaksanakan setiap inisiatif yang dirancang terutamanya melibatkan sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sebagai langkah menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Banyak pencapaian yang dilaksanakan oleh MPN antaranya memberi cadangan berkenaan pembukaan pasaran, sempadan, pelancongan dan ekonomi.

“Kami dibahagikan ke dalam sektor tertentu seperti ekonomi, pendidikan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana ahli MPN akan melihat serta membincangkan banyak perkara.

“Setiap pihak mempunyai peranan masing-masing dan kita juga ada pakar pelbagai bidang untuk berbincang secara empat mata di atas satu meja bagi menggerakkan inisiatif yang dikemukakan.

“Semua pihak yang terlibat kini sedang bergerak dan kita sedaya upaya akan pastikan pelan yang dirancang dapat berjalan dengan pantas. Kita ada begitu banyak cadangan, tidak hanya berhubung kanak-kanak dan perlindungan sosial,” katanya.