TNB jamin bekalan eletrik voltan tinggi LRT laluan Shah Alam

Megat (kiri) dan Prodyut Dutt (kanan) semasa majlis penyerahan dokumen ESA dan disaksikan oleh Baharin, (dua dari kiri) serta Mohd Azharuddin(dua dari kanan).
Megat (kiri) dan Prodyut Dutt (kanan) semasa majlis penyerahan dokumen ESA dan disaksikan oleh Baharin, (dua dari kiri) serta Mohd Azharuddin(dua dari kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi membekalkan bekalan elektrik bervoltan tinggi kepada tiga Stesen Suis Utama di sepanjang Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam.

Kerjasama tersebut akan bermula pada penghujung tahun ini dengan laluan LRT tersebut yang dahulunya dikenali sebagai LRT3 itu dijangka beroperasi serta dibuka kepada orang ramai menjelang tahun 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Baharin Din berkata, sebagai rakan kongsi dalam pembekalan tenaga elektrik, TNB bersedia memberi kerjasama kepada Prasarana dalam membangunkan lagi industri pengangkutan di Malaysia.

Ini terutamanya dalam menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap serta stabil kepada bekalan rel sepanjang LRT Laluan Shah Alam.

“TNB beriltizam menyegerakan Peralihan Tenaga merangkumi usaha meningkatkan nilai perusahaan portfolio penjanaan, memperluas fokus pasaran untuk mengembangkan portfolio Tenaga Boleh Baharu (TBB), pelaburan untuk Grid Masa Depan dan pembangunan ekosistem Kenderaan Elektrik (EV),” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Majlis Penyerahan Perjanjian Pembekalan Elektrik ESA berkenaan diadakan pada bulan lalu dengan Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan menyerahkan perjanjian tersebut kepada Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi & Pembangunan) Prasarana, Dr Prodyut Dutt.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Baharin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Husaini Husin.

Dalam pada itu, Husaini berkata, TNB telah memulakan kerja asas projek itu di ketiga-tiga tapak kerja stesen-stesen suis utama dengan bekalan elektrik bervoltan tinggi 132kV.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bersama-sama dengan Prasarana yang merupakan peneraju transformasi sistem dan perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia, ia berpotensi mempercepatkan agenda kelestarian negara serta memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di sampiang memastikan pertumbuhan perniagaan mampan TNB.

Sementara itu, Mohd Azharuddin berkata, kerjasama dijalin dan kepakaran serta kemampuan pihak TNB dalam menyalurkan bekalan elektrik itu amat kritikal dalam memastikan Prasarana mampu melaksanakan mandat pengangkutan awam organisasi tersebut.

“Projek LRT Laluan Shah Alam merupakan sebahagian daripada Pelan Bersepadu Pengangkutan Awam untuk Greater Klang Valley dan Prasarana diberi mandat untuk memberi kemudahan dan menerapkan sistem pengangkutan awam darat terancang, selamat, responsif, efisien serta mampan,” ujarnya.

Jajaran LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer menyasarkan jaringan perhubungan untuk dua juta penduduk di Koridor Barat Lembah Klang bermula dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang dan melalui tiga kawasan Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Klang.

Sejumlah 20 buah stesen termasuk dua stesen integrasi MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang di Bandar Utama serta stesen integrasi LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie 2 merangkumi jajaran berkenaan.

Selain itu, projek itu juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan secara sepenuh masa kepada lebih 5,900 orang pekerja.

“Projek LRT Laluan Shah Alam ini jelas adalah sebuah projek yang amat bermakna dan ianya tidak mungkin mampu menjadi kenyataan tanpa kerjasama dan sokongan penuh yang telah diberikan oleh pihak TNB,” jelas Mohd Azharuddin.