Akar umbi Pas sudah lama dambakan keharmonian MN

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

BESUT - Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, demikian gambaran perasaan akar umbi Pas yang sekian lama menantikan perselisihan antara pucuk pimpinan parti itu bersama UMNO dileraikan sekali gus mengembalikan semula keharmonian dalam Muafakat Nasional (MN).

Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, hubungan di peringkat akar umbi Pas dan UMNO masih erat malah mereka lebih rapat dan selesa berada dalam gagasan MN.

"Perkembangan positif hubungan MN sudah semestinya dinanti-nantikan oleh akar umbi Pas kerana selama ini hubungan di peringkat bawahan parti lebih rapat dan mereka hanya menunggu sebarang keputusan dan arahan daripada pusat.

"Tinggal lagi bagaimana di peringkat pusat untuk mengurus perbezaan kerana MN perlu kepada titik persamaan. Kita kena empower titik persamaan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ijtimak Tarbawi 8.0 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Pas di Kompleks Pendidikan Tahfiz An-Nur di sini pada Sabtu.

Khairil Nizam menegaskan, seluruh akar umbi Pas menerima ketetapan bahawa musuh utama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah Pakatan Harapan (PH), DAP serta khemah besar.

"Sepanjang 22 bulan memerintah, mereka secara jelas telah merosakkan keharmonian rakyat dan cuba mengganggu gugat perlembagaan negara. Kami menolak DAP, PH serta 'khemah besar'," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, seluruh jentera Pemuda hanya menunggu semboyan ditiupkan untuk menerima arahan dan bergerak pada PRU15.

"Apabila ditiup, kita sudah siap sedia menerima arahan. Soal bagaimana pelaksanaan itu, kita menunggu arahan daripada parti bagaimana untuk kita bekerjasama dalam PRU15

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH di peringkat Pemuda Pas kita sentiasa positif dengan perpaduan ummah sejak dulu lagi.

"Jika ada sinar, kita akan sambut tanpa ada masalah kerana objektif kita ialah menafikan kemenangan PH pada PRU15," katanya.

Ditanya mengenai hubungan antara Pemuda Pas dan UMNO, katanya berlaku sedikit perbezaan namun ia tidak menggugat kerjasama antara dua parti itu.

"Ada sedikit berbeza dari sudut pandangan tetapi apabila rundingan telah dimuktamadkan, kita boleh duduk semeja," katanya.

Ijtimak Tarbawi 8.0 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Pas yang berlangsung pada Sabtu dihadiri kira-kira 5,000 penyokong.