KKM tambah baik insentif kesihatan penderma darah

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa akan memperbaiki pemberian insentif yang berkait dengan perkhidmatan kesihatan kepada individu penderma darah di negara ini, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, ini termasuklah seperti mendapatkan rawatan di wad kelas dua ataupun keutamaan pemberian untuk rawatan tertentu kepada mereka yang terbabit.

"...Tidak bercadang untuk memberikan insentif tunai, mungkin selepas ini boleh diperluaskan bukan hanya daripada segi perkhidmatan rawatan, mungkin insentif kesihatan pencegahan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Lenggeng di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Khairy berkata, penambahan Kad Derma Darah sebagai ciri baharu dalam MySejahtera mendapat sambutan baik oleh orang ramai, khususnya dalam kalangan penderma darah.

"Mereka tidak perlu lagi membawa kad mereka, hari ini kita keluarkan sebagai kad digital namun selepas ini penambahbaikkan seterusnya adalah rekod, setiap kali derma darah, kita akan masukkan rekod dan mereka tidak perlu bawa buku merah lagi,” katanya.

Terdahulu, Khairy berkata, klinik tersebut dilengkapi pelbagai perkhidmatan kesihatan dapat dimanfaatkan lebih 10,000 penduduk setempat sekitar Lenggeng bermula 17 Oktober ini bagi menggantikan klinik lama yang dibina pada 1955.

Beliau berkata, klinik tersebut menawarkan perkhidmatan kesihatan pesakit luar, penyakit tidak berjangkit, kesihatan ibu dan anak, kesihatan wanita, pakar kesihatan keluarga, kesihatan sekolah, farmasi, makmal, ambulans dan rawatan kecemasan, promosi kesihatan dan pencegahan serta saringan bersepadu.

"Pembinaan Klinik Kesihatan Lenggeng ini diharap dapat membantu penduduk di Lenggeng serta kawasan sekitar seperti Ulu Beranang dan Broga, bagi mendapatkan rawatan serta perkhidmatan kesihatan yang lebih banyak, selesa serta berdekatan dengan kediaman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lebih banyak perkhidmatan dapat disediakan termasuk dietetik, sains pemakanan, rehabilitasi, perkhidmatan farmasi tambahan seperti ‘Diabetes Medication Therapy Adherence Clinic’ (DMTAC) dan pertambahan perkhidmatan pergigian.

Khairy berkata, sebagai persediaan untuk perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh, KKM bersetuju sebuah mesin X-ray dibekalkan di klinik itu yang melibatkan kos kira-kira RM1 juta, termasuk bagi kerja pengubahsuaian ruang klinik untuk menempatkan mesin X-ray tersebut.

"Perkhidmatan X-ray ini akan memberikan manfaat kepada kira-kira 14,650 populasi penduduk setempat, khususnya saringan untuk kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas.

"Selain itu, perkhidmatan X-ray tersebut juga nanti dapat digunakan untuk membuat saringan ke atas para tahanan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, yang menempatkan sehingga 1,300 orang,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan itu akan berupaya mengekang isu penyakit berjangkit seperti tibi dan mengelakkan pergerakan keluar daerah, selain mempercepatkan perawatan kes kecemasan kerana Klinik Kesihatan Lenggeng merupakan klinik ‘oncall’. - Bernama