Dua penunggang motosikal maut

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. (Gambar dalam dari kiri : Muhammad Farul Rizuan dan Abd Rahim Hussin
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. (Gambar dalam dari kiri : Muhammad Farul Rizuan dan Abd Rahim Hussin
A
A
A

ALOR GAJAH - Kasih seorang suami menjaga isteri sakit tidak berpanjangan, setelah maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah - Jasin (AMJ) di sini awal pagi, Sabtu.

Kejadian jam 5.30 pagi menyebabkan mangsa, Abd Rahim Hussin, 74, dan pekerja kilang, Muhammad Farul Rizuan Zulkiply, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian Muhammad Farul Rizuan menunggang motosikal jenis SYM Jet X Std dari arah Plaza Tol Simpang Ampat menghala ke Air Paabas, manakala warga emas itu dari arah Alor Gajah.

Menurutnya, setiba di simpang lampu isyarat itu, Abd Rahim yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz secara tiba-tiba telah membuat pusingan U untuk menghala ke Alor Gajah.

"Bagaimanapun, Muhammad Farul Rizuan yang meneruskan perjalanan semasa lampu isyarat berwarna hijau gagal mengelak lalu melanggar motosikal warga emas terbabit.

"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua penunggang motosikal mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Ujar beliau, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga.

"Saksi kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987," kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan: