Bekas penyelia projek tipu RM2,000 didenda RM10,000

Tertuduh (tengah) didenda RM10,000.
Tertuduh (tengah) didenda RM10,000.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap seorang bekas penyelia projek yang mengaku bersalah atas pertuduhan memperdayakan seorang pengurus pembinaan supaya tidak mengambil tindakan berhubung kerja berkaitan sistem kebakaran di tapak projek, dua tahun lalu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Abdul Halim Abdul Aziz, 40 sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagaimanapun, sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dipenjara lima bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu seorang lelaki yang merupakan pengurus pembinaan dengan memperdayakannya supaya menyerahkan wang tunai RM2,000.

Wang tersebut bagi mengelakkan sebarang tindakan memberhentikan kerja pembekalan dan pemasangan sistem keselamatan kebakaran yang sedang dilaksanakan syarikat pengadu.

Kesalahan itu dilakukan di sekitar Negeri Sembilan pada 29 Julai 2020.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali tidak membantah hukuman berbentuk denda ke atas tertuduh, namun ia perlu mengambil kira kepentingan awam.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu mahkamah dia sudah menyesal dan tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

Jelasnya, telah hilang pekerjaan selama dua tahun, dan baru sahaja mendapat kerja semula malah masih menanggung ibu bapa yang kurang sihat dan berpenyakit.