Tolak Bajet seperti tarik sokongan terhadap PM

Asyraf Wajdi dan tangkap layar Facebook Asyraf Wajdi pada Jumaat
Asyraf Wajdi dan tangkap layar Facebook Asyraf Wajdi pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan pihak yang menolak Bajet 2023 seperti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tindakan ugut-mengugut seperti itu juga mampu memberi persepsi negatif kepada pemain industri serta pelabur dari dalam dan luar negara.

"Benar PN menyumbang 39 peratus berbanding BN hanya 34 peratus dalam kerajaan hari ini (namun) menolak Bajet 2023 sama seperti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, bekas Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy mendakwa parti teras PN iaitu Bersatu mungkin tidak menyokong Bajet 2023 ekoran pertembungan Ismail Sabri dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris dilaporkan turut memberi amaran kepada Waytha Moorthy agar tidak mencampuri urusan parti lain dengan menuduh parti itu tidak akan menyokong Bajet 2023.

Dalam pada itu Asyraf Wajdi menegaskan, pilihan raya merupakan tindakan terbaik bagi menyelesaikan isu-isuberkaitan.

"Sebab itulah lebih baik diserahkan sahaja mandat kembali kepada rakyat agar sebuah kerajaan mutlak bermandat dapat diperolehi.

"Ia sekali gus mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pelabur bagi memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan stabil demi kemakmuran rakyat," ujarnya.

Artikel Berkaitan: