Warga emas 70 tahun antara 3,972 ditahan kerana dadah

Operasi Tapis Khas Siri 6 tahan 3,972 individu atas pelbagai kesalahan dadah.
Operasi Tapis Khas Siri 6 tahan 3,972 individu atas pelbagai kesalahan dadah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 3,972 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Operasi Tapis Khas Siri 6 bermula Isnin hingga Rabu lalu di seluruh negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dalam operasi itu sebanyak 81.12 kilogram (kg) dan 1,433 liter pelbagai jenis dadah serta senjata api dianggarkan bernilai RM294,029 dirampas.

"Sepanjang operasi itu, seramai 4,630 orang telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut seramai 3,972 orang berusia 14 hingga 70 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noorsiah berkata, seramai 501 pengedar dadah termasuk dua penjawat awam dan seorang pelajar ditahan dalam operasi tersebut

"Kita turut menahan 1,856 penagih dadah termasuk 54 warga asing," katanya.

Beliau berkata, seramai 205 orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah turut diberkas dalam operasi itu.

"Kita juga menahan 1,410 orang termasuk 74 warga asing dan empat penjawat awam atas kesalahan lain berkaitan kes dadah," ujarnya.

Noorsiah berkata, operasi itu melibatkan seramai 1,864 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, objektif operasi khas itu adalah untuk mengesan dan menangkap tokan dadah di kawasan Felda, Felcra, sarang penagih, projek perumahan rakyat, jeti dan ladang swasta.

"Sebanyak 739 pemeriksaan telah dilaksanakan di kawasan hotspot yang telah dikenal pasti, kita turut memusnahkan sarang-sarang penagihan dadah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil tindakan ke atas penagih tegar serta mengesan dan menangkap individu dikehendaki atas kesalahan dadah.

Selain itu katanya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, yang mana aset dianggarkan bernilai RM892,681.97 telah disita.

"Kita telah menyita wang tunai berjumlah RM20,600.23, barang kemas (RM20,681.74), kenderaan (RM846,100) dan lain-lain harta (RM5,300)," katanya.

Noorsiah berkata, seramai 24,533 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang Operasi Tapis Khas 1 hingga 6 yang dijalankan sejak Januari hingga September lalu.

"Sejumlah 2,059.69kg dan 3,963.32 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM16.2 juta berjaya dirampas," katanya.