Akaun bank Najib sensitif: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa, bank itu perlu mengendalikan akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak dengan berhati-hati kerana ia dikategorikan sebagai sensitif.

Saksi pendakwaan ke-38, Yap Wai Keat berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan Najib.

Ini kerana Wai Keat, 57, berkata, Najib yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri Malaysia, secara tidak langsung menjadi individu yang terdedah secara politik (PEP).

Malah katanya, transaksi wang bagi akaun peribadi AmIslamic Ahli Parlimen Pekan itu melibatkan jumlah yang sangat besar.

Wai Keat: Memandangkan jumlahnya besar dan pasaran tahu mengenai isu berkenaan, ia boleh menjejaskan nilai ringgit.

Wan Aizuddin: Katakanlah, seorang individu lain menerima AS$10 juta, kemudian ia ditukar kepada ringgit, adakah ia akan mengubah kedudukan pasaran?

Wai Keat: Tidak, kerana jumlahnya adalah sedikit berbanding AS$680 juta (transaksi wang masuk ke akaun Najib), disebabkan itulah Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu mewujudkan kod akaun Najib yang berakhir nombor 694, dengan nama AmPrivate Banking - MR.

Saksi ini juga berkata, Joanna memaklumkan perkara tersebut ketika menyuruhnya menukarkan mata wang asing mencecah jutaan dolar kepada ringgit, masuk ke akaun pemimpin UMNO itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding pada Rabu, saksi ini berkata, Najib telah menerima kemasukan wang berjumlah RM2.23 bilion daripada seorang putera Arab Saudi dan dua syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low, pada 2011 hingga 2013 lalu.

Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud telah memasukkan wang menerusi dua transaksi iaitu masing-masing AS$9,999,977 (RM30,449,929.97) pada 24 Februari 2011 dan AS$9,999,970 (RM 30,179,909.46) pada 14 Jun 2011.

Beliau berkata, Joanna telah mengarahkannya untuk membantu dalam perkara berkaitan pertukaran asing di Bahagian Pasaran untuk akaun tersebut.

Katanya, Joanna menyuruh untuk melaksanakan penukaran wang daripada AS$ kepada RM selepas dia mendapat kelulusan daripada pelanggan (Najib).

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.