Lelaki beristeri dua dituduh sumbang mahram

Tertuduh (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Khamis.
Tertuduh (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana melakukan sumbang mahram dengan merogol anak tiri berusia 13 tahun, dua minggu lalu.

Tertuduh, 36 tahun, bekerja kampung yang mempunyai dua isteri, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tiri dalam sebuah bilik di Kampung Sungai Daun Tengah, Yan.

Perbuatan itu dilakukan pada jam kira-kira 11 malam, 14 September lalu.

Akibat perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadly Hassan manakala tertuduh diwakili Peguam Nur Izzatul Amirah Zawawi.

Nur Izzatul Amirah memohon pertimbangan mahkamah memberikan jaminan dengan menawarkan syarat tambahan untuk membuat aku janji agar tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan agar tidak mendekati serta mengganggu mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan 15 November depan bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.