Sabah FC elak tercicir mata

Para pemain Sabah dituntut mempamerkan aksi terbaik bagi mengelak pulang tangan kosong pada aksi menentang TFC. - Foto FB MFL
Para pemain Sabah dituntut mempamerkan aksi terbaik bagi mengelak pulang tangan kosong pada aksi menentang TFC. - Foto FB MFL
A
A
A

KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu pasukannya terus keciciran mata bagi memastikan skuad Sang Badak terus kekal dalam kelompok terbaik Liga Super 2022 yang hanya berbaki beberapa perlawanan.

Sehubungan itu, beliau meminta agar semua pemain mempamerkan aksi terbaik dalam pertemuan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zianal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.

"Saya berharap, apabila bermain dengan TFC kita berjaya mendapatkan keputusan yang positif. Kita tidak boleh lagi keciciran mata untuk mengekalkan tempat kedua atau dalam kelompok yang terbaik.

"Meskipun tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan lalu (kemenangan menentang TFC) sudah tentu akan memberi sedikit impak yang cukup berkesan," katanya.

Kim Swee berkata, beliau telah menganalisis dan berlatih seperti mana yang diinginkan sebelum bertemu TFC, dan tempoh rehat yang lama dapat memberi peluang untuk pasukannya memperbaiki segala kelemahan yang ada.

"Semua pemain berada dalam tahap terbaik untuk memberikan persembahan lebih sempurna seperti mana yang kita tunjukkan sebelum ini," katanya.

Tiga perlawanan sebelum ini, Sabah hanya mencatat keputusan seri menentang Kedah Darul Aman FC (1-1); Kuala Lumpur City FC (2-2) dan kalah kepada Selangor FC (2-3).

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, ketika ini hanya penyerang import Jose Embalo yang masih mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mempunyai rata-rata pemain yang cukup cergas untuk menggantikan tempat beliau dan sesiapa yang diturunkan, saya harap dapat melaksanakan tugas dengan baik," katanya.

Sabah FC pada ketika ini berada di kedudukan kedua dengan 36 mata di belakang Johor Darul Ta'zim yang unggul dengan 43 mata. - Bernama