Taufan Ian cetus banjir, kemusnahan

Serpihan ribut bersepah di jalan susulan Taufan Ian di Sarasota, Florida. - Foto AFP
Serpihan ribut bersepah di jalan susulan Taufan Ian di Sarasota, Florida. - Foto AFP
A
A
A

HOUSTON - Taufan Ian membadai Pantai Teluk Florida pada Rabu dengan kelajuan angin 241 kilometer sejam (km/j), hingga mengakibatkan banjir dan kemusnahan, lapor Agensi Anadolu.

Ian mendarat di Pulau Cayo Costa pada petang Rabu dan dikategori sebagai taufan Kategori Empat, walaupun tahap taufan itu sudah diturunkan kepada Kategori Tiga namun kelajuan angin masih mencecah sehingga 185 km/j.

Pusat Taufan Kebangsaan turut mengeluarkan amaran angin kencang yang boleh 'mengancam nyawa'.

Sekitar 1.9 juta penduduk dilaporkan terputus bekalan elektrik dan dijangka bakal mencetuskan lebih banyak malapetaka apabila taufan itu bergerak ke timur laut dengan kelajuan angin 12.8 km/j.

Ian mencetuskan angin dan hujan lebat yang diramalkan bergerak merentasi tengah Florida serta mengakibatkan lebih banyak kerosakan, menurut Pusat Taufan Kebangsaan.

"Banjir besar yang mengancam nyawa di bandar dan sepanjang sungai, dijangka merentasi tengah Florida," menurut pusat itu.

Amaran taufan turut dikeluarkan di Orlando yang kini mengalami angin kencang dan hujan setakat malam Rabu, manakala Ian dijangka membadai kawasan itu pada awal pagi Khamis.

Pakar meteorologi meramalkan curahan hujan antara 10 hingga 15 inci di Orlando serta ancaman banjir besar dan bencana.

Artikel Berkaitan:

Carolina Utara dan Virginia mengisytiharkan darurat sebagai langkah persediaan kerana dijangka hujan lebat, banjir dan kemungkinan puting beliung akan menyebabkan banyak kerosakan. - Bernama