Tingkat kesedaran perubahan iklim, teroka ekonomi hijau

Chee Hiong
Chee Hiong
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan disaran meningkatkan kesedaran nasional berkaitan isu perubahan iklim terutama kepada golongan muda.

Penyelaras Parlimen MCA Alor Setar, Tan Chee Hiong berkata, negara juga perlu memberi perhatian kepada ekonomi hijau kerana ia bukan sahaja suatu transformasi ekonomi, malah dapat menyelamatkan tamadun manusia.

Menurutnya, kerajaan juga harus menggalakkan golongan muda menyertai bidang teknologi hijau selain memastikan anak muda yang pakar dalam teknologi hijau kembali ke negara ini untuk meneroka penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor berkenaan.

"Bencana banjir yang kerap melanda negara telah menyedarkan masyarakat untuk memikirkan semula peranan Malaysia dalam isu perubahan iklim.

"Setiap individu bukan sahaja boleh memainkan peranan dalam bantuan bencana, sebaliknya melibatkan diri bagi mengurangkan pelepasan Karbon Dioksida," katanya dalam kenyataan media di sini pada Rabu.

Chee Hiong berkata, ia bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan karbon, sebaliknya membawa rantaian industri baharu ke dalam negara serta memberi impak positif kepada pelaksanaan transformasi ekonomi.

"Ramai yang salah faham apabila menyamakan pengurangan pelepasan karbon dengan peningkatan kos ekonomi.

"Dalam banyak kes, pengurangan pelepasan boleh dicapai di bawah transformasi ekonomi. Contohnya, menggalakkan perusahaan perindustrian untuk gunakan biodiesel, tenaga solar dan sistem tenaga baharu lain sebagai transformasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rakyat diingatkan agar tidak berputus asa ketika berdepan bencana alam selain sentiasa berwaspada dalam aspek keselamatan.

"Saya percaya bantuan bencana tidak pernah putus diagihkan kepada mangsa terlibat oleh pelbagai pihak.

"Namun pada masa sama, kesedaran berkaitan isu perubahan iklim harus dipertingkatkan kepada semua golongan agar lebih bersedia menghadapi bencana," katanya.