Bacaan kedua RUU berkaitan intip dibentang bulan depan

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

PUTRAJAYA - Bacaan kedua rang undang-undang (RUU) berkaitan jenayah intip dan hendap akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan hadapan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"RUU terlibat ialah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada 4 Ogos lepas, pindaan Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi memasukkan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah, telah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 507a ke dalam Akta 574, untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.

Menurut RUU itu, sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.

RUU itu juga menyatakan, sesiapa yang melakukan kesalahan menghendap hendaklah dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mas Ermieyati berkata, RUU itu adalah antara yang terawal akan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14.

Takwim baharu bagi sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat adalah bermula 3 Oktober hingga 29 November ini selama 32 hari, manakala 21 November hingga 7 Disember iaitu 11 hari pula bagi Dewan Negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: