Jenayah pedofilia makin membimbangkan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KEGIATAN penjenayah seks ke atas kanak-kanak yang sering dirujuk pedofilia semakin meningkat dan makin kejam di Malaysia.

Statistik terbaru yang dikeluarkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman menunjukkan jumlah kes jenayah seks kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Statistik itu mendapati sebanyak 326 kes dicatatkan pada Julai hingga Disember 2018 berbanding 271 kes dalam tempoh sama pada 2017 membabitkan peningkatan sebanyak 55 kes.

Statistik berkenaan adalah berdasarkan kes-kes yang disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang baru dikuatkuasakan pada Julai 2017.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bukit Aman, Superintendan Siti Kamsiah Hasan berkata, daripada jumlah itu, kanak-kanak berusia antara 13 hingga 15 menjadi mangsa paling ramai diikuti yang berusia enam hingga sembilan tahun.

Menurutnya, lebih tragis statistik mendedahkan jenayah itu turut menimpa bayi seawal usia sembilan bulan sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada organ dalam badan dan meninggal dunia.

"Jenayah ke atas kanak-kanak adalah kejam dan hari ini ia semakin kejam. Kanak-kanak ialah kelompok yang masih belum mampu mempertahankan diri sendiri," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Siti Kamsiah Hasan
Siti Kamsiah Hasan

Lebih menggerunkan, jelas Siti Kamsiah, kebanyakan kes mendapati 'raksasa seks' tersebut bukanlah orang lain kerana banyak suspek dikenali mangsa contohnya bapa kandung, bapa saudara, bapa tiri, sepupu, datuk, teman lelaki ibu, malah guru.

Statistik 2018 mendedahkan daripada 639 kes jenayah seksual kanak-kanak, 73.4 peratus atau 469 kes didalangi oleh individu yang dikenali mangsa.

Malah, selain rakan-rakan kenalan, apa yang mengejutkan kelompok kedua pedofilia itu terdiri daripada guru, jiran sekampung dan bapa saudara.

Siti Kamsiah memberitahu, berdasarkan penelitian yang dilakukan pihaknya, gabungan tiga faktor dikenal pasti mempengaruhi peningkatan jenayah seksual ke atas kanak-kanak termasuk mudahnya mengakses bahan lucah di media sosial.

"Penggunaan tanpa kawalan serta penyalahgunaan medium itu menjadikan bahan berunsur lucah semakin mudah diakses terutamanya individu yang cenderung ke arah itu.

"Faktor kedua adalah peluang yang menjadikan penjenayah mudah melakukan jenayah itu. Peluang itu hadir apabila kurangnya kesedaran orang dewasa mengawasi anak mereka.

"Misalnya, ibu bapa sambil lewa menyerahkan anak untuk dijaga individu yang baru dikenali di media sosial dan sebagainya," katanya.

Menurutnya lagi, faktor ketiga adalah kelemahan mangsa iaitu kanak-kanak, penjenayah mengambil kesempatan ke atas golongan yang fitrahnya masih belum mampu berdikari.

"Apabila tiga faktor ini bertembung, jenayah seksual ke atas kanak-kanak akan berlaku," katanya.

Antara kes babitkan jenayah seksual kanak-kanak

Disember 2018

KUALA LUMPUR - Seorang bapa berusia 37 tahun merogol anak kandungnya berusia 10 tahun sejak tahun 2017 dalam kejadian di Taman Changkat Permata, Ampang.

November 2018

KAJANG - Bayi 11 bulan maut ketika mendapat rawatan di hospital selepas dirogol dan diliwat oleh suami pengasuhnya. Pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan koyakan baru pada tisu kemaluan dan dubur mangsa.

Mac 2018

KUANTAN - Perbuatan sumbang seorang lelaki yang sering menghulurkan derma kepada sebuah pusat tahfiz sejak tahun 2015 terbongkar apabila dia ditahan selepas didakwa melakukan penderaan seksual ke atas 21 pelajar institusi itu berusia 10 hingga 17 tahun dan enam daripadanya mengaku diliwat.

Ogos 2017

AYER KEROH - Seorang lelaki warga emas, 72, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tuduhan meliwat cucu saudara perempuannya di antara akhir Julai hingga awal Ogos lalu.

Ogos 2017

PETALING JAYA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dirogol dan diliwat berulang kali oleh bapanya yang berusia 36 tahun sejak 2015. Jenayah itu turut dilakukan bapanya ketika bulan Ramadan. Lelaki itu berhadapan 594 pertuduhan di mahkamah.