Mahu UAE bawa isu Palestin, Myanmar ke Majlis Keselamatan PBB

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media bersama wartawan Malaysia membuat liputan lawatan empat hari beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media bersama wartawan Malaysia membuat liputan lawatan empat hari beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ABU DHABI - Malaysia berharap Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan statusnya sebagai ahli bukan tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengetengahkan isu-isu antarabangsa seperti Palestin dan Myanmar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UAE boleh memainkan peranan aktif dalam isu-isu Palestin dan Myanmar, terutamanya yang berkaitan dengan pelarian Rohingya dan lain-lain dalam tempoh keanggotaan tahun 2022 dan 2023.

"Saya dan Presiden ada berbincang tentang masalah Palestin yang tidak selesai selesai...PBB dan kuasa-kuasa besar tidak serius. Saya nyatakan pandangan Malaysia supaya semua negara perlu jujur dalam menyelesaikan isu Palestin,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja beliau ke UAE di sini pada Selasa.

Menurut Ismail Sabri, dalam pertemuan dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Kediaman Presiden di sini pada Isnin, beliau menyatakan hasrat supaya negara-negara Islam mempunyai pandangan yang sama dalam soal Palestin.

"Dalam soal konflik di Ukraine, dunia bertindak cepat, sekatan dibuat terhadap Rusia tanpa kelulusan PBB. Ini bertentangan dengan prinsip PBB yang mana semua sekatan perlu kelulusan PBB. Di Palestin, tanah dirampas, rakyat dibunuh dan semua ini berlaku sejak Israel ditubuhkan," katanya.

Ismail Sabri berkata, selain soal Palestin dan Myanmar, kedua-dua mereka juga ada berbincang dan bertukar pandangan mengenai transformasi PBB, termasuk kuasa veto dan cadangan setiap benua mempunyai satu wakil dalam Majlis Keselamatan PBB.

Pada pertemuan itu juga, Perdana Menteri berkata, beliau telah melahirkan ucapan penghargaan atas sumbangan UAE sebanyak US$6 juta untuk Kursi Sheikh Zayed Al Nahyan di Institute of Strategic & International Studies (ISIS) Malaysia.

Kursi itu ditubuhkan untuk mempromosikan keamanan sejagat melalui penyelidikan, persidangan dan dialog antarabangsa, tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri juga berkata, beliau telah menjemput Sheikh Mohamed untuk melawat ke Malaysia. - Bernama