Mohon permit dahulu sebelum daki gunung

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR- Orang ramai yang ingin mendaki gunung di Perlis perlu terlebih dahulu mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan negeri sebelum dibenarkan menjalankan aktiviti berkenaan, kata Pengarahnya, Ag Shaffie Ag Ahmadni

“Hendak mendaki boleh. Tetapi mohon permit dahulu. Mesti dengan jurupandu yang berpengalaman dan berdaftar dengan jabatan ini,” katanya kepada media selepas mengadakan sesi dialog bersama anggota Persatuan Pengusaha Dusun Bukit Bintang di sini hari ini.

Shaffie berkata kadar bayaran bagi permohonan permit itu ialah RM5 setiap individu.

Katanya dengan bayaran permit tersebut membolehkan pihak jabatan mengetahui individu dan kumpulan bersama jurupandu yang mendaki gunung selain butiran mereka akan diberikan kepada penguat kuasa keselamatan.

“Kadar bayaran bagi permit hanya minimum sahaja sekiranya hendak dibandingkan dengan keindahan panorama alam yang dinikmati oleh pendaki. Selain itu, jika berlaku sebarang kecemasan kita tahu sebab ada maklumat diri dan pihak keselamatan boleh segera melakukan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang gagal mendapatkan permit boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan tanpa kebenaran.

Shaffie berkata antara kawasan pendakian yang menjadi tumpuan di Perlis ialah Hutan Simpan Bukit Pelarit, Wang Gunung dan Gunung Perlis dan menambah bahawa pada awal tahun ini Gua Kelam 2 sejauh 9 kilometer telah dibuka dan bakal menjadi tarikan penggemar sukan mendaki.- Bernama

Artikel Berkaitan: